Thursday, March 4, 2010

Berdoalah kepada-Nya


Pohonlah doa kepada Allah s.w.t kerana Allah itu dekat kepada hamba-hambanya dan akan memperkenankan segala doa yang diangkat kepadanya.

Firman Allah s.w.t dalam al-Quran:

"dan tuhanmu berfirman: " berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu...."

(Al-Mu'min, 40:60)

Namun hakikat pada masa ini, manusia semakin lupa dan jauh kepada Allah. Takala masalah datang melanda, manusia lebih rela ke sana-sini meminta pertolongan daripada manusia yang lain sehingga lupa untuk berdoa dan bertawakal kepada Allah. Bersusah payah berjumpa dengan orang lain demi mengadu rasa hati dan derita walhal Allah itu sentiasa mendengar rintihan hambanya dengan penuh rahmat.

Takala dilanda masalah atau ujian, manusia sering bertanya "dimanakah Allah?!". Mereka hilang pedoman, rasa dipencilkan dan hilang tempat mengadu walhal tempat mengadu itu sentiasa terbuka di sisi Allah. Inilah kesan daripada sikap manusia yang sering kali lupa bahawa Allah itu sentiasa berada hampir dengan dirinya.

"dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran"

(Al-Baqarah, 2:186)

Ya! Allah itu hampir dan sudi memperkenankan segala doa yang diangkat kepadanya. Justeru itu, hairanlah jika ada manusia yang tidak berdoa kepada Allah s.w.t yang hampir kepadanya sebaliknya meminta-minta daripada makhluk-makhluk yang yang tidak berdaya untuk mengadu dan meminta pertolongan. Padahal kita menyedari sikap makhluk apabila terlalu banyak diminta maka bertambahlah rasa bencinya sedangkan Allah pula lagi banyak kita mengadu dan meminta, bertambah pula kasih sayang-Nya kepada kita.

Allah tidak jauh daripada hambanya. Yang menjadikan Allah itu jauh daripada kita ialah diri kita sendiri. Hati yang tidak merasai kewujudan dan rahmat Allah serta kefahaman yang tidak betul terhadap agama selalu membuatkan kita berasa jauh daripada Allah.

Kita diajar di dalam Islam agar sentiasa bergantung kepada Allah kerana nescaya kita akan merasakan kehadiran Allah bersama-sama kita. Apabila seseorang menjaga agamanya, memelihara tanggungjawabnya sebagaiman yang diperintahkan Allah kepadanya, maka dia akan merasa betapa Allah bersama dengannya dalam segala urusannya.

Mungkin akan ada yang bertanya: " Kenapa ada doa yang tidak dimakbulkan sedangkan Allah berfirman akan memakbulkan segala doa?" Al-Iman al-Qurtubi menjelaskan dalam al-Jami' li Ahkam al-Quran bahawa setiap do'a itu tidak semestinya ditunaikan secara mutlak atau terperinci seperti yang dipohon. Jika anda berdoa mendapatkan kereta, tidak semestinya anda mendapat kereta. Doa seseorang mungkin akan dimakbulkan melalui salah satu dari tiga cara seperti yang diterangkan oleh nabi Muhamad s.a.w dalam hadith baginda :

"tidak ada seorang muslim pun yang berdoa dengan sesuatu doa yang tidak ada di dalam dosa atau memutuskan kekeluargaan, melainkan Allah akan beri salah satu dari 3 perkara; sama ada disegerakan untuknya (dimakbulkan di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat (diberi balasan baik di akhirat), ataupun diselamatkan dia dari keburukan yang seumpamanya."
(HR al-Iman Ahmad, sahih)

Maka jelaslah bahawa doa yang kita pohon itu jika tidak mempunyai sebab-sebab ditolak, pasti Allah akan diterima oleh Allah menerusi 3 perkara ini. Jika bukan di dunia, akan dimakbulkan di akhirat. Jika tidak, akan diselamatkan dari keburukan dan seumpamanya. Lihat! betapa luasnya rahmat Allah itu.

Cara doa itu termakbul adalah ketentuan Allah. Jangan pula kita menyoalkannya "aku nak doaku dimakbulkan di dunia!" dan sebagainya. Allah itu maha mengetahui, Dia tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Maka redha lah dengan segala ketentuan Allah s.w.t.

Di samping itu, doa itu juga merupakan ibadah. Makhluk ciptaan-Nya akan dianggap beribadah jika dia berdoa kepada Allah s.w.t. Sama ada doa itu dimakbulkan atau tidak, ia tetap merupakan ibadah di sisi Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah dalam hadis hasan sahih yang bermaksud :

"Doa itu adalah ibadah"
(HR Tarmizi)

Nah! apa lagi alasan kita untuk tidak berdoa kepada Allah? Perhatikan ayat-ayat dari al-Quran dan hadis tadi, ketahuilah rahmat Allah itu melangit luas. Bukan sahaja kita diberi peluang untuk meminta daripada-Nya melalui berdoa, malah berdoa itu sendiri dikira sebagai ibadah dan ada pahala yang akan diberikan sebagai balasan.

Oleh itu, berdoalah kita kepada Allah s.w.t dan jangan berputus asa dari rahmatnya.

0 comments:

Post a Comment