Sunday, May 16, 2010

Peristiwa di kolam air panas

Gambar hiasan


" Malam ni kita ada aktiviti panas punya!" sergah sahabat penulis. Penulis yang sedang mamai tak cukup tidur membuat muka seposen tanda tak mengerti. " Jangan lupa bawa tuala dengan baju lebih!" sahabat tadi menambah.

Penulis masih lagi tak mengerti dengan apa yang dimaksudkan 'aktiviti panas' tu. Namun, penulis akur dengan arahan sahabat tadi. Segala kelengkapan yang disuruh sudah pun disediakan. 3 buah kereta pun bergerak membelah kesunyian malam. Setelah beberapa minit perjalanan, penulis mula mengukir senyuman takala melihat papan tanda yang disinari lampu kereta.

"Kolam air panas baling? la...ni ke 'aktiviti panas' kita?" jerit penulis. Sahabat yang lain menguntumkan senyuman sinis. Patutlah penulis disuruh bawa baju lebih dan tuala, rupanya kami akan ke kolam air panas Baling. Bukan apa, pada pandangan penulis 'aktivit panas' tu merujuk kepada aktiviti yang lasak seperti operasi burung hantu, night trekking atau etc tetapi rupa-rupanya nak ke kolam air panas (memang panas pun aktivitinya).

Jam sudah pun menunjukkan pukul 11.05pm, namun kolam air panas tersebut masih lagi dikunjungi oleh manusia. Lautan manusia membanjiri kolam tersebut menyukarkan kami untuk bergerak. Akhirnya setelah lama berlegar-legar di kawasan kolam, kami jumpa juga 'port' untuk kami mandi. Masing-masing memakai baju basahan ketika mandi sebab segan dengan orang ramai yang datang berkunjung. Ada yang datang bersama-sama keluarga, kekasih (ni bahaya ni!), rakan-rakan sehinggakan ada yang berkhemah di kawasan tersebut. Subhanallah! Betapa meriahnya kawasan tersebut.

Setiap aktiviti yang dilakukan pasti ada pengajarannya. Pada mulanya penulis kurang mengerti akan tujuan kami datang ke kolam air panas tersebut. Jika nak merehatkan badan, rasanya boleh sahaja kita ke tempat lain. Akhirnya, setelah beberapa peristiwa yang berlaku barulah penulis sedar akan pengajaran yang ingin disampaikan.

Usai menyalin pakaian, penulis terus ke ‘port’ kami tadi. Kelihatan sahabat-sahabat yang lain sedang merendamkan kaki mereka ke dalam kolam air panas tersebut. “panas sangat ke air nya?” bisik hati penulis. Sebab sebelum ini penulis pernah melihat ada pengunjung yang berenang sambil menyelam di dalam kolam tersebut. Sangkaan penulis, mungkin air kolam tersebut tidak lah sepanas mana jika tidak macam mana pengunjung tersebut boleh berenang dan menyelam dengan senang hati.

Kata orang dulu-dulu, ikutkan hati mati. Sangkaan penulis salah sama sekali. Air kolam tersebut memang panas. Sewaktu kaki penulis menyentuh air kolam tersebut, penulis terus menarik kaki (tindakan reflex) dengan serta merta. Panasanya ya Allah! Sahabat di sebelah cuba menahan ketawa melihat gelagat penulis. Penulis hairan melihat sahabat yang lain tenang merendamkan kaki mereka malahan ada juga yang sedang berenang!

“letak je perlahan-lahan, lepas tu cuba tahan. Nanti biasalah tu” nasihat sahabat disebelah. Penulis pun mengikut nasihat tersebut dan ternyata benar. Setelah penulis meletak kaki dan membiarkannya, penulis mula membiasakan diri dengan suhu air tersebut. Namun kepanasan air itu masih lagi terasa di kaki terutama ketika kaki digerakkan.

“ Jom berenang!”kata salah seorang sahabat kepada penulis. Pada ketika itu seluruh badannya sudah pun berada di dalam kolam tersebut.

“taknak lah! Rasa macam tak boleh lah. Panas sangat ni” balas penulis. Memang benar. Walaupun kaki berjaya direndam, namun kepanasan air kolam membuatkan penulis tidak berani untuk merendamkan seluruh badan ke dalam air panas tersebut. Mungkin atas desakan sahabat tadi, penulis pun akur dengan kehendaknya.

Penulis bergerak dengan perlahan-lahan ketika cuba untuk masuk sepenuhnya ke dalam kolam air panas tersebut, takut badan penulis ini ‘terkejut’ dengan perubahan suhu yang berlaku secara mendadak. Akhirnya penulis berjaya juga merendamkan seluruh badan ke dalam kolam air tersebut, bahkan penulis siap berenang dan menyelam serta mengajak sahabat-sahabat lain pula untuk turut serta.

Kesimpulan, apa pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa di atas? Pertama, diri kita sebenarnya mampu untuk melakukan sesuatu yang luar biasa. Seperti peristiwa diatas, penulis pada asalnya merasakan tidak boleh atau mustahil untuk diri ini berenang di dalam kolam tersebut. Namun setelah diberi sedikit dorongan dan semangat, penulis berjaya melakukan nya dengan mudah. “kita percaya yang diri kita lemah sebelum kelemahan itu terbukti” mungkin inilah gambaran diri penulis yang pada awalnya percaya bahawa diri ini tidak dapat atau lemah untuk melakukan sesuatu perkara (berenang di dalam kolam). Jadi , lihat balik ke dalam diri masing-masing. Kita sebenarnya hebat dan boleh melakukan sesuatu yang luar biasa tetapi masalahnya ialah gaya pemikiran kita (mind set) yang menghalang kita untuk berjaya.

Kedua; kata salah seorang sahabat, aktiviti di kolam ini merupakan peringatan kepada diri sendiri tentang azab Allah s.w.t. Bayangkan air yang panas begitu pun kita takut dan nak memasuki ke dalam air itu pun secara perlahan-lahan, inikan pula neraka yang jauh lebih panas berkali-kali ganda dan ketika itu penghuni neraka dicampak kedalam api neraka (bukannya masuk dengan perlahan-lahan). Sedarlah azab Allah itu amat pedih. Teramat pedih. Jika merasakan kolam air panas itu sangat panas, neraka jauh lebih panas daripada itu.

Itu sahaja pengkongsian yang dapat penulis kongsikan bersama para pembaca. Moga ia dapat memberi kesedaran dan pengajaran kepada para pembaca.
Sekian. Wasalam.

Monday, May 10, 2010

Evaluasi diri



Assalamualaikum

Setelah sekian lama blog ini dibiarkan usang tanpa sebarang ‘post’, akhirnya hati ini tergerak juga untuk menulis. Ada juga beberapa sahabat yang bertanya bila nak di’update’ blog. Tiap kali datang menjenguk, tiada pun ‘post’ yang terbaru. Penulis memohon maaf kepada para pembaca yang sering kali melawat blog ini namun isi nya masih sama. Moga-moga Allah s.w.t membetulkan balik niat dan hati penulis untuk sentiasa menulis.

Cuti untuk sidang 2009/2010 telah pun bermula seminggu yang lalu. Namun ‘feel’ bercuti itu tidak dirasai oleh penulis kerana terpaksa ‘bercuti’ di USM demi menyiapkan ‘research paper’. Bayangkan waktu cuti selama 2 bulan lebih dihabiskan di USM, sukar juga untuk hati ini menerimanya. Namun tugas tetap tugas. Setelah memilih jalan ini, kita harus melaluinya dan tiada masa untuk berpatah balik.

Mungkin sedikit evalusi tentang diri sendiri setelah 2 tahun bergelar mahasiswa. Lagi 2 tahun penulis akan berijazah dan akan memasuki alam pekerjaan. Ramai sahabat yang tidak sabar untuk melangkah ke alam pekerjaan kerana sudah bosan dan penat dengan hidup sebagai seorang mahasiswa. Ketahuilah bahawa kehidupan di alam pekerjaan itu lebih sukar daripada kehidupan seorang mahasiswa. Kuliah yang hanya bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pukul 5 petang pun kita rasakan tidak mampu, inikan pula waktu bekerja bermula daripada 8 pagi hingga 6 petang. Oleh sebab itu lah penulis merasakan kesenangan pada waktu sekarang ini perlu dimanfaatkan. Ada beberapa nikmat yang manusia selalu lupa dan salah satunya ialah nikmat waktu lapang sebelum waktu susah.

Ok, kembali ke tajuk utama (jauh sangat melencong tadi). Sem kali ini boleh dianggap sebagai sem yang paling banyak masalah. Masalah seperti pengurusan masa, masalah peribadi, masalah hati, masalah kesihatan dan etc. Kalau dianalisis semula, kebanyakan masalah ni berpunca daripada masalah pengurusan masa itu sendiri. Mungkin pengurusan masa pada awal sem berjalan dengan bagus, namun akibat daripada masalah dan tugas yang datang melanda menyebabkan pengurusan masa itu menjadi kelam kabut.
Tugasan yang diterima agak banyak. Apatah lagi ‘rumour’ tentang kemahiran penulis dalam mereka baju mula tersebar dengan cepat. Natijahnya, banyak yang meminta penulis untuk mereka baju. Ingin juga penulis katakana bahawa penulis ini tidak lah pandai mereka baju, cuma mahir menggunakan Adobe photoshop sahaja. Namun, kerana tugas tersebut adalah amanah yang dipertanggungjawabkan dan tiada sesiapa pun yang mahu memikulnya. Maka penulis pun menerima permintaan mereka.

berikut adalah beberapa hasil kerja penulis:-










Exam! Penulis merasakan exam kali ni lah yang paling teruk sekali. Terutamanya exam organic chemistry. Entah kenapa segala yang dibaca lesap ketika masuk dewan peperiksaan. Mungkin kurang persediaan dan latihan. Apa-apa pun paper yang lain berjaya dilalui dengan baik (mungkin). Waktu study week merupakan waktu yang paling teruk sekali. Waktu tidur melebihi waktu belajar, inilah natijah daripada kurangnya beriadah. (-_-)

Kesimpulannya, masalah yang dihadapi sem lepas perlu diatasi. Pengurusan masa perlu dimantapkan, riadah selalu walaupun sekejap, susun jadual, selalu bersihkan hati dengan zikrullah, tingkatkan ibadah dan sentiasa berdoa. Moga-moga sem hadapan merupakan titik permulaan hijrah penulis untuk menjadi lebih baik. Insya-Allah


“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

An-Nisaa’:100