Saturday, October 1, 2011

Kristianisasi di IPT?

Penulis terpanggil untuk menulis di blog berikutan beberapa peristiwa yang berlaku kebelakangan ni. Peristiwa tersebut berlaku di sekitar USM, di mana satu risalah kecil yang mengandungi unsur-unsur penyebaran agama lain telah diedarkan kepada semua premis-premis di USM termasuklah desasiswa, kantin dan sebagainya.

Hal ini menarik perhatian penulis kerana iklan tersebut diedarkan secara terang-terangan sehingga ada peringatan diberikan sebelum khutbah Jumaat (semalam) berkaitan penyebaran risalah ini. Jika ada pelajar USM yang telah membaca risalah tersebut, pasti mereka tahu agama lain yang disebut itu merujuk kepada agama nasrani (kristian).

Maka, coretan pada kali ini ditujukan khas kepada semua pembaca yang beragama islam terutamanya rakan seaqidah di USM.

Kristianisasi di IPT

Ketahuilah bahawa gerakan kristianisasi sudah wujud di IPT sebagaimana wujudnya gerakan dakwah islam. Tujuan mereka hanyalah satu; menyebarkan agama mereka. Penulis sendiri pernah melihat kegiatan mereka ketika di matrikulasi. Namun, penulis belum pernah terserempak dengan mereka di USM lagi. Hakikatnya, gerakan itu wujud di setiap IPT dan mereka akan sentiasa menyampaikan ajaran agama mereka kepada mereka yang bergama lain.

Daripada maklumat yang penulis terima, mereka bergerak dengan meng'approch' sasaran dakyah mereka. Kemudian, mereka akan menjalinkan hubungan baik seperti bertanya khabar, belanja makan dan sebagainya. Setelah rapat, mereka akan mula bertanyakan soalan yang akan mengugat aqidah dan akhirnya membawa kepada kes murtad.

Salah ke mereka menyebarkan agama mereka?

Mereka salah atau tidak bukanlah persoalannya kerana mereka cuma menyampaikan dan melaksanakan tuntutan agama mereka. Seharusnya diberi perhatian adalah sasaran mereka yakni saudara sesama islam kita. Kondisi umat islam terutama di Malaysia sangat tenat; cetek ilmu agama, iman yang lemah, ibadat tidak dilaksana, dan juga melakukan maksiat. Kerana faktor inilah aqidah mereka senang dipesongkan dan akhirnya menyebabkan mereka sesat di dunia dan juga akhirat.

Islam merupakan agama yang benar dan sebenar-benanrnya. Apabila sesuatu kebenaran telah terbukti, maka tiada kata-kata luar yang dapat menyalahkan kebenaran tersebut.Sesiapa sahaja yang berpegang teguh dengan ajaran Allah yang benar ini, pasti tiada anasir-anasir jahat yang mampu mengoncangkan aqidahnya. Contoh, kita lihat perdebatan tokoh perbandingan agama yang hebat iaitu Sheikh Ahmad Dedat dengan paderi-paderi kristian. Jika para pembaca pernah melihat video dan membaca buku tulisan beliau, pasti kita dapat melihat yang hujah-hujah beliau yang diambil berlandaskan al-Quran tidak dapat dipatahkan.

Apabila aqidah dan iman tidak mantap akibat daripada ilmu agama yang cetek, mudah sahaja virus-virus jahat meresapi ke dalam jiwa lalu meruntuhkan iman kita. Itulah hakikat yang penulis lihat pada masa kini. Ramai orang islam yang tidak menyiapkan diri mereka dengan perisai iman mereka yakni ilmu. Apabila diajak, alasan yang diberi. Tidak perlulah menuntut ilmu sehebat para ulama, cukuplah mengetahui asas islam; apa yang ma'aruf dan apa yang mungkar. Insya-allah, dengan ilmu tersebut dapat menjadi benteng dan tempat berlindung daripada serangan anasir-anasir jahat.


Pesanan penulis

Buat pelajar muslim,
belajarlah, tingkatkanlah pengetahuan anda dalam bidang agama. Kalau ada yang sudah lupa tu, minta di'refresh'kan kembali. Bergaul dengan rakan yang sering mengingatkan kita kepada Allah, ringan-ringankan lah kaki untuk ke tempat ibadat dan juga taman-taman syurga(majlis ilmu). Kalau boleh, elakkan daripadda bertemu dengan pendakyah kristian. Jika mereka mengajukan soalan kepada anda dan anda tidak dapat menjawabnya, rujuklah kepada ustaz mahupun mereka yang arif tentang perbandingan agama. Akhir sekali, bacalah buku tentang perbandingan agama agar kita boleh memberi jawapan kepada persoalan mereka.

Mohonlah pertolongan daripada Allah
Insya-Allah.Moga-moga semuanya selamat

silap dan salah harap dimaafi~

Saturday, September 17, 2011

Menjadi farmasis

alhamdulillah, sudah 3 tahun penulis menuntut di USM sebagai seorang pelajar farmasi. Kini, penulis sudah pun bergelar pelajar tahun 4 dan insya-allah akan tamat pengajian pada tahun hadapan. Sekian lama menjadi pelajar farmasi, penulis sering menjadi tumpuan keluarga, saudara-mara dan rakan yang ingin mendapatkan maklumat dan nasihat berkaitan ubat.

Banyak persoalan diajukan kepada penulis. Nasib baik soalan itu tak sesusah soalan ujian. Boleh la penulis menjawab dengan mudah. Bila menyebut tentang ubat, penulis ingin berkongsi satu peristiwa yang berlaku ketika cuti semseter yang lalu. Peristiwa ini sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada penulis betapa pentingnya ilmu farmasi yang dipelajari ni.


Kisahnya berlaku di awal bulan syaa'ban. Ketika penulis sedang menziarahi rumah saudara, salah seorang saudara penulis sedang mengalami hypersensitivity reaction (alergi). Dia tidak dibawa ke hospital kerana keluarganya menyangka kesan alergi itu disebabkan tersalah ubat dan akan pulih selepas beberapa jam.

Maka, penulis pun meminta untuk melihat ubat yang digunakan. Ubat tersebut ialah Amoxicilin, sejenis antibiotik kelas penicilin. Mereka mengatakan Amoxicilin diberikan kepada saudara penulis untuk merawat demamnya. Penulis terkejut apabila mereka mengatakan antibiotik tersebut sebenarnya milik adik saudara penulis yang disimpan di peti sejuk. Mendengar penjelasan mereka , penulis dapat mengesan beberapa kesilapan yang mereka lakukan.

Kesilapan pertama ialah mereka memberi antibiotik tanpa nasihat doktor mahupun farmasis. Jika demam, paracetamol sudah mencukupi. Jika berlarutan, barulah berjumpa doktor. Kesilapan kedua ialah menggunakan antibiotik yang disimpan lama di peti sejuk. Menjadi kebiasaan orang ramai menyimpan lebihan ubat di peti sejuk untuk satu tempoh yang lama. Ubat-ubatan tidak seharusnya diletakkan di peti sejuk (kerana boleh merubah keadaan fizikal ubat tersebut) dan ubat yang telah disimpan untuk satu tempoh yang lama tidak boleh digunakan lagi.

Selepas memberi penerangan tentang kesilapan mereka, penulis pun menyatakan ada kemungkinan alergi yang berlaku pada saudara penulis itu disebabkan dia alah kepada antibiotik tersebut. Ada beberapa golongan manusia yang alah kepada ubat kumpulan penicilin dan saudara penulis mungkin tergolong dalam kumpulan tersebut.

Untuk memastikan jangkaan penulis itu tepat, penulis bertanya bila kali terakhir ubat tersebut diambil. Mereka mengatakan ubat tersebut diambil 2 hari lepas dan alergi berlaku sehari selepas itu (penulis berjumpa mereka pada hari ketiga). Maka sah! Alergi itu bukan disebabkan oleh antibiotik. Jika dia memang alah pada antibiotik tu, sepatutnya dia akan menunjukkan kesan alergi beberapa minit selepas antibiotik tersebut dimakan.

Maka, penulis pun mencadangkan untuk membawa dia berjumpa doktor. Setelah dibawa ke klinik, doktor mengatakan alergi tersebut disebabkan oleh jangkitan denggi. Masya-allah! Nasib baik kami sempat ke klinik. Jika tidak…. (-_-)


p/s: abang saudara : kalau kena virus, antivirus mana yang bagus? Kaspersky atau Bitdefender? (^.^)
penulis : (-_-) …….AVG kot. Sebab dia free….

Friday, June 10, 2011

Al-kisah Ustaz Janggut



Ustaz janggut, itulah gelaran yang diberikan kepadanya kerana memiliki janggut yang panjang. Walaupun usianya sudah mencecah 70 tahun, ustaz janggut masih lagi bergiat aktif mengadakan kelas mengaji Al-Quran di rumahnya. Cara mengajarnya yang amat berkesan membuatkan ramai penduduk kampung menghantar anak mereka ke kelasnya.

Pagi itu, seperti biasa rumah ustaz janggut akan dipenuhi dengan kanak-kanak yang datang untuk mengaji Al-Quran dengan nya. Alunan bacaan Al-Quran pun mula bergema sebaik sahaja kelas bermula. Ustaz janggut memeriksa setiap bacaan anak muridnya. Walaupun usia mereka masih lagi muda, baacan mereka perlulah betul agar senang dewasa kelak.

Usai mengaji, ustaz janggut tiba-tiba menanyakan soalan kepada anak muridnya sebelum melepaskan mereka pulang. Soalannya berbunyi “adakah kamu ini orang dewasa atau budak kecil?”. Ustaz janggut pun memberitahu bahawa jika mereka menjawab “budak kecil”, dia akan menghadiahkan gula-gula kepada mereka. Maka setiap muridnya pun menjawab yang mereka masih lagi kecil kecuali seorang budak yang paling tua dalam kelompok kanak-kanak itu.

“saya sudah dewasa” jawab budak itu. Akibatnya ustaz itu pun tidak memberi gula-gula kepadanya. Namun budak itu tidak berasa kecil hati hanya kerana tidak mendapat gula -gula. Sebaliknya dia berasa yang dia ini sudah dewasa kerana tidak tertarik dengan gula-gula tersebut.

Pada kelas yang berikutnya, budak itu masih memberi jawapan yang sama kepada ustaz janggut. Maka tiada hadiah gula-gula buatnya. Perkara ini berulang-ulang selama satu minggu. Walaupun ditanya lagi dan lagi, jawapan budak tersebut masih lagi sama.
Pada kelas berikutnya, ustaz janggut bertanyakan soalan yang sama kepada setiap anak muridnya. Budak tersebut bersedia untuk memberikan jawapan yang sama. Namun, apabila sampai gilirannya untuk ditanya, ustaz janggut terus memberi gula-gula tersebut tanpa bertanyakan soalan.

Budak itu merasa pelik dan marah. Pelik kerana ustaz janggut tidak bertanyakan soalan kepadanya. Marah kerana dia menerima gula-gula yang baginya hanya patut diberi kepada budak kecil sahaja. Dalam kebingungan, budak itu pulang ke rumahnya. Dalam perjalanan pulang, dia menjamah sedikit gula-gula tersebut. Dia terkejut! Ternyata gula-gula yang diterimanya sangat manis dan sedap. Budak itu pun merasakan nikmat yang tak terhingga ketika menjamahnya.

Akhirnya dia sedar. Sedar akan betapa bodohnya dia selama ini. Ustaz janggut hendak memberikan gula-gula yang manis kepadanya setiap kali dia selesai mengaji Al-quran tetapi dia menolaknya. Menolak kerana ego yang ada pada dirinya. Akibatnya, dia terlepas akan nikmat yang sepatutnya menjadi miliknya selama ini.

Esoknya, ustaz janggut terus memberi gula-gula kepada budak tersebut tanpa bertanyakan soalan. Dengan hati yang gembira budak itu mengatakan “terima kasih ustaz, saya masih lagi budak kecil”.

Kini ustaz janggut sudah kembali kepada penciptanya. Budak itu pula sudah pun melanjutkan pelajaran ke menara gading. Pengajaran yang diberikan oleh ustaz janggut itu masih terbuku di hatinya dan kini dia pula menceritakannya kepada para pembaca.
=)

Sunday, May 22, 2011

Selamat Kembali!!

Assalamualaikum

Rasanya sudah hampir setengah tahun blog ini tak dikemaskini. Jika blog ni seperti almari baju dirumah, pasti ia sudah penuh dengan sawang labah-labah =).

Teringat kata-kata seorang sahabat yang menulis ini bukanlah sesuatu perkara yang senang apatah lagi hendak konsisten. Ketika mendengar kata-katanya, penulis kurang faham dengan apa yang dimaksudkan. Kini barulah penulis mengerti apa yang cuba hendak disampaikan.

Sejak kebelakangan ini penulis hilang idea dan masa untuk menulis mengakibatkan blog ini dibiarkan begitu sahaja seperti rumah yang sudah usang menunggu masa untuk roboh. Kesibukan, hilang minat, kemudahan internet yang terbatas menyebabkan blog ini tidak dikemaskini.

Namun, penulis telah menemui semangat untuk menulis semula (terima kasih kepada Al-Akh yang memberi semangat). Insya-allah, blog ini akan cuba dikemaskini dengan lebih kerap dan isinya pula lebih bermanfaat kepada para pembaca.

Cuti sem kali ini pula panjang, maka penulis akan gunakan waktu yang ada dengan sebaik-baiknya untuk memastikan blog ini sentiasa dikemaskini.

Jadi, kepada penulis blog PERJALANANKU, selamat kembali!!!


p/s: rasanya perlu ubah layout blog ni, mungkin dengan letak sedikit gambar?? hurmm...