Friday, October 12, 2012

Aku, Graduasi dan Tafsir Al-Maraghiy

22 september 2012 merupakan hari bersejarah untuk pelajar sains farmasi tahun akhir USM. Ya, pada hari inilah upacara pengijazahan akan diadakan buat semua pelajar sains farmasi yang cukup syarat untuk berijazah. Selaku pelajar tahun akhir sains farmasi, hari itu juga merupakan detik yang manis buat penulis. Perasaan menerima segulung ijazah selepas empat tahun berhempas pulas mempelajari ilmu sains farmasi memang tidak dapat digambarkan. Hanya Allah yang tahu perasaan penulis ketika berada di pentas. 

Senyuman kegembiraan yang terpancar dari muka keluarga, rakan-rakan serta para pensyarah membuat penulis berasa senang hati. Bergurau senda selepas mengambil ijazah tanpa menyedari ini mungkin perjumpaan terakhir kerana selepas ini masing-masing akan mengikut hala tuju hidup masing-masing. Usai upacara pengijazahan, masing-masing kembali ke kampung halaman. Penulis pula perlu mencari satu kitab tafsir yakni kitab tafsir Al-Maraghiy jilid 15. Kenapa kitab ini dicari oleh penulis? Ia amat berkait rapat dengan sijil pengijzahan yang perlu diambil oleh penulis.

Al-kisah sebelum bergraduasi, seorang rakan mensyorkan penulis menyemak dengan pustakawan untuk memastikan tiada hutang dengan pustaka. Penulis pernah sahaja meminjam beberapa buku di perpustakaan sebagai bahan rujukan dan bacaan. Maka, tidak salah untuk penulis menyemak. Setelah berurusan dengan pustakawan, penulis mempunyai hutang denda lewat hantar buku dan satu buku yang belum dipulangkan. 


Buku yang belum dipulangkan? Setelah disemak, buku tersebut ialah Kitab tafsir Al-Maraghiy jilid 15. Penulis berasa hairan kerana penulis yakin yang penulis telah menghantar buku tersebut sebelum berangkat ke Kelantan untuk praktikal. Dengan perasaan tidak puash hati, penulis menegaskan kepada pustakawan tersebut yang penulis sudah pun menghantar buku tersebut dan mungkin ada masalah dalam sistem tersebut. Jika ada hutang dengan perpustakaan, sijil pengijazahan tidak akan dapat dikeluarkan.

Setelah berbincang dengan pustakawan, dia menyarankan penulis untuk menyemak kembali buku tersebut di rak buku. Maka, selepas upacara kovokesyen penulis pun menerjah rak buku yang dikatakan oleh pustakawan . Penulis memang jarang ke perpustakaan, maka agak susah untuk penulis mencari rak buku tersebut. Nasib baik ada seorang rakan penulis yang merupakan pelanggan tetap perpustakaan datang membantu. Setelah disemak di perpustakaan, buku tersebut tiada di rak. Penulis cuba mencari di rumah sewa, bertanyakan kepada rakan-rakan lain. Namun hasilnya agak mendukacitakan.

Ke mana hilangnya kitab tafsir Al-Maraghiy ni? Hanya Allah sahaja yang mengetahui. Buku yang dicari tidak ditemui, maka penulis tiada jalan lain selain dari menggantikan buku yang hilang. Penulis boleh memilih sama ada menggantikan buku tersebut dengan membelinya di kedai buku atau membayar terus kepada perpustakaan dengan harga dua kali ganda. Penulis cuba mencari buku tersebut di kedai buku sekitar pulau pinang namun tiada. Akhirnya, penulis terpaksa membayar harga buku tersebut dua kali ganda.

Walaupun perlu membayar dengan harga yang mahal, sikap yang ditunjukkan oleh salah seorang pustakawan dalam membantu penulis sedikit sebanyak telah menyentuh hati. Pustakawan tersebut banyak membantu penulis sehinggakan sanggup mencari sendiri buku tersebut di rak buku. Bukan itu saja, informasi tentang kedai buku yang menjual kitab tersebut juga diberi kepada penulis. Sikap baiknya dalam membantu pelajar seperti penulis memang mulia.

Ada hikmah disebalik ujian yang dilalui penulis. =)

Selesai membayar, penulis terus ke pusat rekod untuk mengambil sijil ijazah; sijil ijazah dan tafsir al-Maraghiy. =)