Friday, June 10, 2011

Al-kisah Ustaz Janggut



Ustaz janggut, itulah gelaran yang diberikan kepadanya kerana memiliki janggut yang panjang. Walaupun usianya sudah mencecah 70 tahun, ustaz janggut masih lagi bergiat aktif mengadakan kelas mengaji Al-Quran di rumahnya. Cara mengajarnya yang amat berkesan membuatkan ramai penduduk kampung menghantar anak mereka ke kelasnya.

Pagi itu, seperti biasa rumah ustaz janggut akan dipenuhi dengan kanak-kanak yang datang untuk mengaji Al-Quran dengan nya. Alunan bacaan Al-Quran pun mula bergema sebaik sahaja kelas bermula. Ustaz janggut memeriksa setiap bacaan anak muridnya. Walaupun usia mereka masih lagi muda, baacan mereka perlulah betul agar senang dewasa kelak.

Usai mengaji, ustaz janggut tiba-tiba menanyakan soalan kepada anak muridnya sebelum melepaskan mereka pulang. Soalannya berbunyi “adakah kamu ini orang dewasa atau budak kecil?”. Ustaz janggut pun memberitahu bahawa jika mereka menjawab “budak kecil”, dia akan menghadiahkan gula-gula kepada mereka. Maka setiap muridnya pun menjawab yang mereka masih lagi kecil kecuali seorang budak yang paling tua dalam kelompok kanak-kanak itu.

“saya sudah dewasa” jawab budak itu. Akibatnya ustaz itu pun tidak memberi gula-gula kepadanya. Namun budak itu tidak berasa kecil hati hanya kerana tidak mendapat gula -gula. Sebaliknya dia berasa yang dia ini sudah dewasa kerana tidak tertarik dengan gula-gula tersebut.

Pada kelas yang berikutnya, budak itu masih memberi jawapan yang sama kepada ustaz janggut. Maka tiada hadiah gula-gula buatnya. Perkara ini berulang-ulang selama satu minggu. Walaupun ditanya lagi dan lagi, jawapan budak tersebut masih lagi sama.
Pada kelas berikutnya, ustaz janggut bertanyakan soalan yang sama kepada setiap anak muridnya. Budak tersebut bersedia untuk memberikan jawapan yang sama. Namun, apabila sampai gilirannya untuk ditanya, ustaz janggut terus memberi gula-gula tersebut tanpa bertanyakan soalan.

Budak itu merasa pelik dan marah. Pelik kerana ustaz janggut tidak bertanyakan soalan kepadanya. Marah kerana dia menerima gula-gula yang baginya hanya patut diberi kepada budak kecil sahaja. Dalam kebingungan, budak itu pulang ke rumahnya. Dalam perjalanan pulang, dia menjamah sedikit gula-gula tersebut. Dia terkejut! Ternyata gula-gula yang diterimanya sangat manis dan sedap. Budak itu pun merasakan nikmat yang tak terhingga ketika menjamahnya.

Akhirnya dia sedar. Sedar akan betapa bodohnya dia selama ini. Ustaz janggut hendak memberikan gula-gula yang manis kepadanya setiap kali dia selesai mengaji Al-quran tetapi dia menolaknya. Menolak kerana ego yang ada pada dirinya. Akibatnya, dia terlepas akan nikmat yang sepatutnya menjadi miliknya selama ini.

Esoknya, ustaz janggut terus memberi gula-gula kepada budak tersebut tanpa bertanyakan soalan. Dengan hati yang gembira budak itu mengatakan “terima kasih ustaz, saya masih lagi budak kecil”.

Kini ustaz janggut sudah kembali kepada penciptanya. Budak itu pula sudah pun melanjutkan pelajaran ke menara gading. Pengajaran yang diberikan oleh ustaz janggut itu masih terbuku di hatinya dan kini dia pula menceritakannya kepada para pembaca.
=)