Saturday, September 17, 2011

Menjadi farmasis

alhamdulillah, sudah 3 tahun penulis menuntut di USM sebagai seorang pelajar farmasi. Kini, penulis sudah pun bergelar pelajar tahun 4 dan insya-allah akan tamat pengajian pada tahun hadapan. Sekian lama menjadi pelajar farmasi, penulis sering menjadi tumpuan keluarga, saudara-mara dan rakan yang ingin mendapatkan maklumat dan nasihat berkaitan ubat.

Banyak persoalan diajukan kepada penulis. Nasib baik soalan itu tak sesusah soalan ujian. Boleh la penulis menjawab dengan mudah. Bila menyebut tentang ubat, penulis ingin berkongsi satu peristiwa yang berlaku ketika cuti semseter yang lalu. Peristiwa ini sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada penulis betapa pentingnya ilmu farmasi yang dipelajari ni.


Kisahnya berlaku di awal bulan syaa'ban. Ketika penulis sedang menziarahi rumah saudara, salah seorang saudara penulis sedang mengalami hypersensitivity reaction (alergi). Dia tidak dibawa ke hospital kerana keluarganya menyangka kesan alergi itu disebabkan tersalah ubat dan akan pulih selepas beberapa jam.

Maka, penulis pun meminta untuk melihat ubat yang digunakan. Ubat tersebut ialah Amoxicilin, sejenis antibiotik kelas penicilin. Mereka mengatakan Amoxicilin diberikan kepada saudara penulis untuk merawat demamnya. Penulis terkejut apabila mereka mengatakan antibiotik tersebut sebenarnya milik adik saudara penulis yang disimpan di peti sejuk. Mendengar penjelasan mereka , penulis dapat mengesan beberapa kesilapan yang mereka lakukan.

Kesilapan pertama ialah mereka memberi antibiotik tanpa nasihat doktor mahupun farmasis. Jika demam, paracetamol sudah mencukupi. Jika berlarutan, barulah berjumpa doktor. Kesilapan kedua ialah menggunakan antibiotik yang disimpan lama di peti sejuk. Menjadi kebiasaan orang ramai menyimpan lebihan ubat di peti sejuk untuk satu tempoh yang lama. Ubat-ubatan tidak seharusnya diletakkan di peti sejuk (kerana boleh merubah keadaan fizikal ubat tersebut) dan ubat yang telah disimpan untuk satu tempoh yang lama tidak boleh digunakan lagi.

Selepas memberi penerangan tentang kesilapan mereka, penulis pun menyatakan ada kemungkinan alergi yang berlaku pada saudara penulis itu disebabkan dia alah kepada antibiotik tersebut. Ada beberapa golongan manusia yang alah kepada ubat kumpulan penicilin dan saudara penulis mungkin tergolong dalam kumpulan tersebut.

Untuk memastikan jangkaan penulis itu tepat, penulis bertanya bila kali terakhir ubat tersebut diambil. Mereka mengatakan ubat tersebut diambil 2 hari lepas dan alergi berlaku sehari selepas itu (penulis berjumpa mereka pada hari ketiga). Maka sah! Alergi itu bukan disebabkan oleh antibiotik. Jika dia memang alah pada antibiotik tu, sepatutnya dia akan menunjukkan kesan alergi beberapa minit selepas antibiotik tersebut dimakan.

Maka, penulis pun mencadangkan untuk membawa dia berjumpa doktor. Setelah dibawa ke klinik, doktor mengatakan alergi tersebut disebabkan oleh jangkitan denggi. Masya-allah! Nasib baik kami sempat ke klinik. Jika tidak…. (-_-)


p/s: abang saudara : kalau kena virus, antivirus mana yang bagus? Kaspersky atau Bitdefender? (^.^)
penulis : (-_-) …….AVG kot. Sebab dia free….

Friday, June 10, 2011

Al-kisah Ustaz Janggut



Ustaz janggut, itulah gelaran yang diberikan kepadanya kerana memiliki janggut yang panjang. Walaupun usianya sudah mencecah 70 tahun, ustaz janggut masih lagi bergiat aktif mengadakan kelas mengaji Al-Quran di rumahnya. Cara mengajarnya yang amat berkesan membuatkan ramai penduduk kampung menghantar anak mereka ke kelasnya.

Pagi itu, seperti biasa rumah ustaz janggut akan dipenuhi dengan kanak-kanak yang datang untuk mengaji Al-Quran dengan nya. Alunan bacaan Al-Quran pun mula bergema sebaik sahaja kelas bermula. Ustaz janggut memeriksa setiap bacaan anak muridnya. Walaupun usia mereka masih lagi muda, baacan mereka perlulah betul agar senang dewasa kelak.

Usai mengaji, ustaz janggut tiba-tiba menanyakan soalan kepada anak muridnya sebelum melepaskan mereka pulang. Soalannya berbunyi “adakah kamu ini orang dewasa atau budak kecil?”. Ustaz janggut pun memberitahu bahawa jika mereka menjawab “budak kecil”, dia akan menghadiahkan gula-gula kepada mereka. Maka setiap muridnya pun menjawab yang mereka masih lagi kecil kecuali seorang budak yang paling tua dalam kelompok kanak-kanak itu.

“saya sudah dewasa” jawab budak itu. Akibatnya ustaz itu pun tidak memberi gula-gula kepadanya. Namun budak itu tidak berasa kecil hati hanya kerana tidak mendapat gula -gula. Sebaliknya dia berasa yang dia ini sudah dewasa kerana tidak tertarik dengan gula-gula tersebut.

Pada kelas yang berikutnya, budak itu masih memberi jawapan yang sama kepada ustaz janggut. Maka tiada hadiah gula-gula buatnya. Perkara ini berulang-ulang selama satu minggu. Walaupun ditanya lagi dan lagi, jawapan budak tersebut masih lagi sama.
Pada kelas berikutnya, ustaz janggut bertanyakan soalan yang sama kepada setiap anak muridnya. Budak tersebut bersedia untuk memberikan jawapan yang sama. Namun, apabila sampai gilirannya untuk ditanya, ustaz janggut terus memberi gula-gula tersebut tanpa bertanyakan soalan.

Budak itu merasa pelik dan marah. Pelik kerana ustaz janggut tidak bertanyakan soalan kepadanya. Marah kerana dia menerima gula-gula yang baginya hanya patut diberi kepada budak kecil sahaja. Dalam kebingungan, budak itu pulang ke rumahnya. Dalam perjalanan pulang, dia menjamah sedikit gula-gula tersebut. Dia terkejut! Ternyata gula-gula yang diterimanya sangat manis dan sedap. Budak itu pun merasakan nikmat yang tak terhingga ketika menjamahnya.

Akhirnya dia sedar. Sedar akan betapa bodohnya dia selama ini. Ustaz janggut hendak memberikan gula-gula yang manis kepadanya setiap kali dia selesai mengaji Al-quran tetapi dia menolaknya. Menolak kerana ego yang ada pada dirinya. Akibatnya, dia terlepas akan nikmat yang sepatutnya menjadi miliknya selama ini.

Esoknya, ustaz janggut terus memberi gula-gula kepada budak tersebut tanpa bertanyakan soalan. Dengan hati yang gembira budak itu mengatakan “terima kasih ustaz, saya masih lagi budak kecil”.

Kini ustaz janggut sudah kembali kepada penciptanya. Budak itu pula sudah pun melanjutkan pelajaran ke menara gading. Pengajaran yang diberikan oleh ustaz janggut itu masih terbuku di hatinya dan kini dia pula menceritakannya kepada para pembaca.
=)

Sunday, May 22, 2011

Selamat Kembali!!

Assalamualaikum

Rasanya sudah hampir setengah tahun blog ini tak dikemaskini. Jika blog ni seperti almari baju dirumah, pasti ia sudah penuh dengan sawang labah-labah =).

Teringat kata-kata seorang sahabat yang menulis ini bukanlah sesuatu perkara yang senang apatah lagi hendak konsisten. Ketika mendengar kata-katanya, penulis kurang faham dengan apa yang dimaksudkan. Kini barulah penulis mengerti apa yang cuba hendak disampaikan.

Sejak kebelakangan ini penulis hilang idea dan masa untuk menulis mengakibatkan blog ini dibiarkan begitu sahaja seperti rumah yang sudah usang menunggu masa untuk roboh. Kesibukan, hilang minat, kemudahan internet yang terbatas menyebabkan blog ini tidak dikemaskini.

Namun, penulis telah menemui semangat untuk menulis semula (terima kasih kepada Al-Akh yang memberi semangat). Insya-allah, blog ini akan cuba dikemaskini dengan lebih kerap dan isinya pula lebih bermanfaat kepada para pembaca.

Cuti sem kali ini pula panjang, maka penulis akan gunakan waktu yang ada dengan sebaik-baiknya untuk memastikan blog ini sentiasa dikemaskini.

Jadi, kepada penulis blog PERJALANANKU, selamat kembali!!!


p/s: rasanya perlu ubah layout blog ni, mungkin dengan letak sedikit gambar?? hurmm...

Monday, November 8, 2010

God is the light

God is the Light - Yusuf Islam @ Cat Steven

How great the wonders of the heavens
And the timeless beauty of the night
How great – then how great the Creator?
And its stars like priceless jewels
Far beyond the reach of kings
Bow down for the shepherd guiding him home.

But how many eyes are closed
To the wonder of this night?
Like pearls, hidden, deep beneath a dark
Stream of desires.
But like dreams vanish with the call to prayer
And the dawn extinguishes night – here too are signs.
God is the Light - God is the Light

How great the beauty of the Earth and the creatures
Who dwell on her.
How great – then how great the Creator?
As its mountains pierce the clouds
High above the lives of men
Weeping rivers for thousands of years.

But how many hearts are closed
To the wonders of this sight?
Like birds in a cage, asleep with closed wings
But like work stops with the call to prayer
And the birds reside – here too are signs
God is the Light – God is the Light

How great the works of man and the things he makes
How great – then how great the Creator?
Though he strives to reach the heavens
He can barely survive
The wars of the world he lives in.

Yet, how many times he’s tried,
Himself to immortalise?
Like his parents before him in the Garden of Eden
But like the sun sets with the call to prayer
And surrenders to the night here too are signs
God is the Light Everlasting
God is the Light Everlasting
God is the Light Everlasting
God is the Light Everlasting

Thursday, October 28, 2010

Mengingati mati




Wahai sahabat sekalian, tidakkah kita merasakan waktu berjalan begitu cepat? Detik dan minit terus berputar. Hari berganti hari, menggenapkan hitungan minggu, bulan dan tahun, silih berganti seiring pergantingan siang dan malam

“sesungguhnya dalam perciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang berakal”
Ali Imran: 191

Pergantian siang dan malam, hari, minggu, bulan dan tahun adalah menjadi sebahagian daripada kekuasaan Allah S.W.T. Pergantian tahun beerti bertambah pula usia kita, begitu juga umur kita semakin berkurang. Semakin mendekati kematian. Penyair arab mengatakan:

“Anda adalah rangkaian dari hari-hari. Jika satu hari telah lewat, maka akan berkurang umur anda”.

Lalu, apa yang sudah kita perbuat dari bertambahnya umur kita? Jawapan ini penting, kerana suka atau tidak setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Kematian bukanlah akhir segala kehidupan. Sebaliknya, ia adalah permulaan kepada kehidupan yang kekal abadi. Akhirat adalah waktu di mana setiap perkara yang dilakukan oleh manusia diselesaikan secara seadil-adilnya.

Wahai sahabat yang dimuliakan oleh Allah S.W.T

“ perbanyakkan mengingat sesuatu yang melenyapkan semua kelazatan, yaitu kematian!”
(HR. Tirmidzi)

Sungguh berbahagialah hamba-hamba Allah yang sentiasa mengingati kematian. Tak ubah seperti guru yang baik, kematian memberikan banyak pelajaran, membingkai makna hidup, bahkan mengawasi alur kehidupan kita agar
tidak menyimpang daripada tujuan asal penciptaan kita.


Kematian mengingatkan kita bahawa waktu sangat berharga

Tidak ada sesuatu pun yang mampu membuatkan seorang mukmim mengingatkan betapa berharganya nilai waktu selain daripada kematian. Tidak seorang pun yang tahu bila dunia ini akan berakhir. Begitu jua tiada seorang pun yang tahu bila ajal bakal menjemputnya.
Ketika seorang manusia melalaikan nilai waktu, hakikatnya ia sedang menggiringi dirinya ke dalam jurang kebinasaan. Kerana tidak ada satu detik pun waktu terlewat melainkan ajal kian mendekat. Allah S.W.T mengingatkan perkara ini dalam surah Al-Anbiya’, ayat 1 :

“telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).”

Ketika waktu telah tiba dan ajal sudah di depan mata. Tiba-tiba, lisan tergerak untuk mengatakan, “Ya Allah, lewatkan ajalku sedetik sahaja. Akan ku gunakan ia untuk bertaubat kepadamu ya Allah.” Tetapi sayang, permohonan itu sia-sia belaka. Kematian akan tetap datang jua tanpa rundingan.


Kematian mengingatkan siapakah diri kita yang sebenarnya

Jika kehidupan dunia diumpamakan dengan pentas lakonan, maka kematian adalah akhir segala lakonan. Apapun watak yang kita mainkan, ketika pengarah mengatakan ‘habis’, selesailah segala lakonan. Kemudian semuanya kembali kepada kehidupan yang sebenarnya.

Lalu, patutkah kita dikatakan gila ketika berkeras untuk tetap selamanya menjadi watak yang kita lakonkan. Padahal, lakonan sudah pun berakhir.

Sebagus manapun lakonan yang kita mainkan, ia tak akan pernah kekal selamanya. Kita boleh berbangga ketika berlakon sebagai orang kaya. Kita boleh menangis ketika berlakon sebagai orang miskin yang menderita. Namun ketahuilah, bangga dan menangis itu bukan untuk selamanya. Semuanya akan berakhir. Oleh itu, amatlah sedih jika ada manusia yang berbangga dan yakin bahawa dia akan menjadi orang kaya dan berkuasa selamanya. Begitu jua, teramat sedih kalau ada manusia yang merasa akan terus menderita selamanya. Semuanya bermula dan berakhir dan akhir itu adalah kematian.


Kematian mengingatkan bahawa kita tak memiliki apa-apa

Siapa pun kita sama ada kaya atau miskin, pemerintah atau rakyat biasa, semuanya akan masuk ke lubang kubur bersama bungkusan kain kafan.

Lalu, masih patutkah kita berbangga-bangga dengan harta yang kita miliki. Kita datang dengan tidak membawa apa-apa dan pergi pun bersama sesuatu yang tak berharga.


Kematian mengingatkan bahawa hidup sementara

Kejayaan dan kekayaan kekadang menghanyutkan manusia kepada sebuah khayalan bahawa ia akan hidup selamanya. Seolah-olahnya dia ingin menyatakan kepada dunia bahawa tiada sesuatupun yang mampu memisahkan antara dirinya dengan kenikmatan tersebut.

Ketika detik kematian mulai datang berupa rambut yang beruban, tenaga yang kian berkurang, wajah yang makin berkedut, ketika itulah baru dia tersedar bahawa segalanya akan berpisah dan pemisah kenikmatan itu ialah kematian.


Kematian mengingatkan bahawa hidup begitu berharga

Seorang hamba Allah yang mengingati kematian akan sentiasa sedar bahawa hidup ini teramat berharga. Hidup ini tak ubah seperti ladang pinjaman. Seorang petani yang baik akan memanfaatkan ladang itu dengan menanam tumbuhan yang berharga dengan bersungguh-sungguh kerana dia khawatir tidak akan mendapat apa-apa ketika ladang itu dikembalikan.

Orang yang mencintai sesuatu tidak akan melewatkan sedetik pun waktunya untuk mengingati sesuatu itu. Begitu jualah, ketika kematian menjadi sesuatu yang paling diingati beerti kita sedang menghargai erti kehidupan sebenar.

Tuesday, October 26, 2010

Peristiwa di library

Penat!
Ini sudah kali kedua aku pusing kawasan ni. Water dispenser yang dicari tak kutemui juga. Bukan tidak ketemu, cuma water dispenser yang ku jumpa semuanya tiada cawan. Macam mana nak minum air kalau tiada cawan? Hausnya tekak ni hanya tuhan sahaja yang tahu. Hati kecil merungut "library canggih macam ni pun takkan lah tak boleh sediakan cawan kat water dispenser?". Tiba-tiba hati teringat akan botol air yang ditinggalkan di bilik. Kenapalah aku tak ambil botol air tadi sewaktu nak berangkat ke library tadi? Kalau aku ambil, pasti aku tak perlu lalui semua ni.

Sabar! Sabar! Mungkin semua ini hanya ujian daripada tuhan. Ada hikmah disebaliknya.

Aku melafazkan istighfar, mohon diberi petunjuk.

Tiada jalan lain, aku pulang semula ke meja belajar di tingkat tiga. Hampir seluruh kawasan aku teroka sehingga aku merasakan pelajar yang lain terganggu dengan gelagat aku yang asyik keluar masuk. Dari tingkat tiga turun ke tingkat satu dan naik semula ke tingkat tiga. Sampai sahaja di meja belajar, aku menghamparkan kekecewaan di raut wajah ku. Sahabat ku yang ada di meja pun menegur.

"jumpa tak water dispenser tu ?"
"jumpa, tapi tak minum"
"tak minum? Kenapa lak?"
"cawan takde. Takkan nak teguk kot?"
"la, pergi kat tingkat dua. Situ ada water dispenser dengan cawan"

Tingkat dua? Hampir seluruh kawasan aku teroka tapi masih tak jumpa juga. Boleh percaya ke kata sahabat aku ni? Mahu atau tak, aku gagahkan kaki ini juga untuk turun ke tingkat dua seperti yang diarahkan. Turun ke tingkat dua, lepas tu pusing ke kiri. Nah! Satu water dispenser bersama cawan berdiri megah di hadapan mata ku. Apa lagi, aku pun mendapat segelas air untuk menghilangakn dahaga. Rasa nikmat takala air sejuk melalui tekak ku yang kering. Usai minum, aku pun melangkahkan kaki pulang ke tingkat tiga.

Pelik! Macam mana aku boleh tak nampak water dispenser ni sedangkan habis seluruh tingkat aku selongkar. Setelah lama berfikir, baru ku sedar yang aku ini merupakan 'orang baru' dalam library ni. Mana tidaknya, aku ni jarang ke library. Dalam satu sidang, mungkin kurang daripada 5 kali aku ke library. Jadi aku kurang arif dengan selok belok dalam library ni. Seperti apa yang berlaku semalam, takala sedang belajar seorang diri di library. Kalau tidak kerana panduan daripada seorang sahabat, mungkin seumur hidup aku tak akan jumpa surau library.

Sampai sahaja di meja belajar, aku terus duduk sambil menghela nafas lega.

"jumpa tak?"
"jumpa, jumpa" aku membalas

Sahabat aku tu pun menguntumkan senyuman sinis. Ya, aku faham kenapa. Sebab geli hati melihat gelagat pelajar farmasi ini yang gelagatnya bagai rusa masuk kampung…..



Pengajaran = selalulah ke library

Wednesday, September 29, 2010

Ruh seorang murabbi

“kenapa cikgu tak mengajar kami lagi?” salah seorang pelajar tuisyen membuahkan kekecewaan kepada penulis.
“cikgu sibuk la A (bukan nama sebenar). Kat USM tu cikgu banyak tugasan, jadi terpaksalah cikgu berhenti mengajar tuisyen.” Penulis cuba memberi pencerahan kepada nya.
Namun di raut wajah nya masih jelas kelihatan tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan.
Maka penulis pun bertanya
“Takkan sebab cikgu dah tak mengajar, A hilang semangat nak belajar?”
"yelah! Cikgu yang buat kami minat untuk belajar. Kalau cikgu takde, lainlah rasanya"

Subhanallah! Ungkapan daripada A memang menyentuh hati penulis. Air mata seperti mahu mengalir tetapi ego penulis menahannya. Tidak sangka penulis selama ini telah menjadi inspirasi dan juga murrabi (pembina) kepada mereka sehingga mereka minat untuk belajar. Terasa diri ini telah berjaya menjalankan tugas sebagai seorang pendidik.

A masih lagi menzahirkan kekecewaannya. Maka penulis pun berkata sesuatu untuk menyejukkan hatinya
“Insya-Allah, nanti kalau diberi peluang cikgu akan kembali mengajar” senyuman mula menguntum di bibirnya.
“Study elok-elok! Jangan lupa formula yang cikgu ajarkan” Penulis menambah.
A mengganguk faham dan berlalu pergi selepas memberi salam.

Peristiwa diatas telah memberi banyak pengajaran kepada penulis. Kita sebagai seorang murabbi/pendidik seharusnya memberikan lebih daripada ilmu kepada anak didik kita/mad'u agar mereka tidak menjadi seperti robot, boleh menerima maklumat dan arahan tetapi tidak boleh bertindak mengikut kehendak sendiri.


Berikan mereka ruh tarbiyyah!!

Pada hari raya yang lepas, penulis ada menziarahi seorang sahabat yang pernah menjadi cikgu sementara di sebuah sekolah. Apa yang menarik perhatian penulis ialah sahabat tadi telah dinobatkan “cikgu yang paling best” oleh pelajar-pelajarnya sedangkan dia mengajar di situ tidak lah lama iaitu kurang dari sebulan. Bila ditanya apa rahsianya? Dia menjawab
“Kita bukan bagi ilmu sahaja. Kita kena bagi ‘Ruh’ kepada pelajar-pelajar kita tu.”
Satu jawapan yang bagus dan penulis akan pegang nasihat itu sampai bila-bila kerana penulis merasakan nasihat tersebut sangat berguna.


Ruh seorang Murabbi

Bagi sesiapa yang membawa halaqah/usrah ketahuilah anda sebenarnya memegang peranan yang sangat berat yakni sebagai seorang murabbi/ah (pembina) kepada anak-anak halaqah/usrah (mad'u). Pernahkah para murabbi/ah tertanya-tanya kenapa halaqah/usrah yang dibawa tidak berjaya, anak halaqah/usrah tidak berminat untuk hadir dan tidak berubah/membesar seperti apa yang dirancang?

Penulis juga pernah mengalami masalah berikut. Pening juga kepala memikirkan jalan penyelesaian sehinggalah murabbi penulis berkata sesuatu kepada penulis

"antum ni kurang ruh sebagai seorang murabbi"

Bila direnung semula kata-kata tadi, sedikit-demi sedikit terkena kepada batang hidung sendiri. =P

Kita murabbi tetapi kita tak pernah pun mengambil berat tentang anak halaqah/usrah kita. Adakah dia sihat? Bagaimana iman nya? Ibadahnya? Study? Sebaliknya kita sibuk menguruskan hal-hal kita sehingga tiada masa untuk menjalinkan ukhuwah bersama mereka. Waktu berjumpa hanyalah ketika dalam halaqah/usrah dan waktu itu pun kita tak manfaatkan.

Pernah tak kita terfikir sama ada pengisian/taujihat kita ketika dalam halaqah/usrah menyentuh hati anak halaqah/usrah kita atau tidak? Tersentuh sehingga mereka berubah menjadi lebih baik? Ataupun kita sekadar hadir dan menyampaikan sahaja mengikut silibus tanpa memikirkan sama ada apa yang disampaikan itu sampai dan dihadam oleh anak halaqah/usrah kita atau tidak?

Susah juga nak jadi murabbi ni ye. Tetapi ketahuilah sesiapa sahaja yang memiliki ruh sebagai seorang murabbi dapat 'menghidupkan' orang disekelilingnya dan itulah yang terjadi kepada penulis.

Ketika di zaman jahiliah, saat sedang leka dengan dunia, hadirnya murabbi yang membawa perubahan yang besar kepada penulis. Kata-kata mereka penuh dengan makna, menyentuh hati dan menyedarkan penulis tentang tanggungjawab kita.

Sekarang tibalah giliran penulis pula untuk menjadi murabbi yang dapat menyentuh hati para mad'u nya, membawa mereka berhijrah kepada yang lebih baik dan membina peribadi muslim yang sejati.


bermulalah kembara mencari ruh murabbi ….


p/s: salah dan silap harap diperbetulkan dan dimaafkan...