Tuesday, October 26, 2010

Peristiwa di library

Penat!
Ini sudah kali kedua aku pusing kawasan ni. Water dispenser yang dicari tak kutemui juga. Bukan tidak ketemu, cuma water dispenser yang ku jumpa semuanya tiada cawan. Macam mana nak minum air kalau tiada cawan? Hausnya tekak ni hanya tuhan sahaja yang tahu. Hati kecil merungut "library canggih macam ni pun takkan lah tak boleh sediakan cawan kat water dispenser?". Tiba-tiba hati teringat akan botol air yang ditinggalkan di bilik. Kenapalah aku tak ambil botol air tadi sewaktu nak berangkat ke library tadi? Kalau aku ambil, pasti aku tak perlu lalui semua ni.

Sabar! Sabar! Mungkin semua ini hanya ujian daripada tuhan. Ada hikmah disebaliknya.

Aku melafazkan istighfar, mohon diberi petunjuk.

Tiada jalan lain, aku pulang semula ke meja belajar di tingkat tiga. Hampir seluruh kawasan aku teroka sehingga aku merasakan pelajar yang lain terganggu dengan gelagat aku yang asyik keluar masuk. Dari tingkat tiga turun ke tingkat satu dan naik semula ke tingkat tiga. Sampai sahaja di meja belajar, aku menghamparkan kekecewaan di raut wajah ku. Sahabat ku yang ada di meja pun menegur.

"jumpa tak water dispenser tu ?"
"jumpa, tapi tak minum"
"tak minum? Kenapa lak?"
"cawan takde. Takkan nak teguk kot?"
"la, pergi kat tingkat dua. Situ ada water dispenser dengan cawan"

Tingkat dua? Hampir seluruh kawasan aku teroka tapi masih tak jumpa juga. Boleh percaya ke kata sahabat aku ni? Mahu atau tak, aku gagahkan kaki ini juga untuk turun ke tingkat dua seperti yang diarahkan. Turun ke tingkat dua, lepas tu pusing ke kiri. Nah! Satu water dispenser bersama cawan berdiri megah di hadapan mata ku. Apa lagi, aku pun mendapat segelas air untuk menghilangakn dahaga. Rasa nikmat takala air sejuk melalui tekak ku yang kering. Usai minum, aku pun melangkahkan kaki pulang ke tingkat tiga.

Pelik! Macam mana aku boleh tak nampak water dispenser ni sedangkan habis seluruh tingkat aku selongkar. Setelah lama berfikir, baru ku sedar yang aku ini merupakan 'orang baru' dalam library ni. Mana tidaknya, aku ni jarang ke library. Dalam satu sidang, mungkin kurang daripada 5 kali aku ke library. Jadi aku kurang arif dengan selok belok dalam library ni. Seperti apa yang berlaku semalam, takala sedang belajar seorang diri di library. Kalau tidak kerana panduan daripada seorang sahabat, mungkin seumur hidup aku tak akan jumpa surau library.

Sampai sahaja di meja belajar, aku terus duduk sambil menghela nafas lega.

"jumpa tak?"
"jumpa, jumpa" aku membalas

Sahabat aku tu pun menguntumkan senyuman sinis. Ya, aku faham kenapa. Sebab geli hati melihat gelagat pelajar farmasi ini yang gelagatnya bagai rusa masuk kampung…..



Pengajaran = selalulah ke library

Wednesday, September 29, 2010

Ruh seorang murabbi

“kenapa cikgu tak mengajar kami lagi?” salah seorang pelajar tuisyen membuahkan kekecewaan kepada penulis.
“cikgu sibuk la A (bukan nama sebenar). Kat USM tu cikgu banyak tugasan, jadi terpaksalah cikgu berhenti mengajar tuisyen.” Penulis cuba memberi pencerahan kepada nya.
Namun di raut wajah nya masih jelas kelihatan tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan.
Maka penulis pun bertanya
“Takkan sebab cikgu dah tak mengajar, A hilang semangat nak belajar?”
"yelah! Cikgu yang buat kami minat untuk belajar. Kalau cikgu takde, lainlah rasanya"

Subhanallah! Ungkapan daripada A memang menyentuh hati penulis. Air mata seperti mahu mengalir tetapi ego penulis menahannya. Tidak sangka penulis selama ini telah menjadi inspirasi dan juga murrabi (pembina) kepada mereka sehingga mereka minat untuk belajar. Terasa diri ini telah berjaya menjalankan tugas sebagai seorang pendidik.

A masih lagi menzahirkan kekecewaannya. Maka penulis pun berkata sesuatu untuk menyejukkan hatinya
“Insya-Allah, nanti kalau diberi peluang cikgu akan kembali mengajar” senyuman mula menguntum di bibirnya.
“Study elok-elok! Jangan lupa formula yang cikgu ajarkan” Penulis menambah.
A mengganguk faham dan berlalu pergi selepas memberi salam.

Peristiwa diatas telah memberi banyak pengajaran kepada penulis. Kita sebagai seorang murabbi/pendidik seharusnya memberikan lebih daripada ilmu kepada anak didik kita/mad'u agar mereka tidak menjadi seperti robot, boleh menerima maklumat dan arahan tetapi tidak boleh bertindak mengikut kehendak sendiri.


Berikan mereka ruh tarbiyyah!!

Pada hari raya yang lepas, penulis ada menziarahi seorang sahabat yang pernah menjadi cikgu sementara di sebuah sekolah. Apa yang menarik perhatian penulis ialah sahabat tadi telah dinobatkan “cikgu yang paling best” oleh pelajar-pelajarnya sedangkan dia mengajar di situ tidak lah lama iaitu kurang dari sebulan. Bila ditanya apa rahsianya? Dia menjawab
“Kita bukan bagi ilmu sahaja. Kita kena bagi ‘Ruh’ kepada pelajar-pelajar kita tu.”
Satu jawapan yang bagus dan penulis akan pegang nasihat itu sampai bila-bila kerana penulis merasakan nasihat tersebut sangat berguna.


Ruh seorang Murabbi

Bagi sesiapa yang membawa halaqah/usrah ketahuilah anda sebenarnya memegang peranan yang sangat berat yakni sebagai seorang murabbi/ah (pembina) kepada anak-anak halaqah/usrah (mad'u). Pernahkah para murabbi/ah tertanya-tanya kenapa halaqah/usrah yang dibawa tidak berjaya, anak halaqah/usrah tidak berminat untuk hadir dan tidak berubah/membesar seperti apa yang dirancang?

Penulis juga pernah mengalami masalah berikut. Pening juga kepala memikirkan jalan penyelesaian sehinggalah murabbi penulis berkata sesuatu kepada penulis

"antum ni kurang ruh sebagai seorang murabbi"

Bila direnung semula kata-kata tadi, sedikit-demi sedikit terkena kepada batang hidung sendiri. =P

Kita murabbi tetapi kita tak pernah pun mengambil berat tentang anak halaqah/usrah kita. Adakah dia sihat? Bagaimana iman nya? Ibadahnya? Study? Sebaliknya kita sibuk menguruskan hal-hal kita sehingga tiada masa untuk menjalinkan ukhuwah bersama mereka. Waktu berjumpa hanyalah ketika dalam halaqah/usrah dan waktu itu pun kita tak manfaatkan.

Pernah tak kita terfikir sama ada pengisian/taujihat kita ketika dalam halaqah/usrah menyentuh hati anak halaqah/usrah kita atau tidak? Tersentuh sehingga mereka berubah menjadi lebih baik? Ataupun kita sekadar hadir dan menyampaikan sahaja mengikut silibus tanpa memikirkan sama ada apa yang disampaikan itu sampai dan dihadam oleh anak halaqah/usrah kita atau tidak?

Susah juga nak jadi murabbi ni ye. Tetapi ketahuilah sesiapa sahaja yang memiliki ruh sebagai seorang murabbi dapat 'menghidupkan' orang disekelilingnya dan itulah yang terjadi kepada penulis.

Ketika di zaman jahiliah, saat sedang leka dengan dunia, hadirnya murabbi yang membawa perubahan yang besar kepada penulis. Kata-kata mereka penuh dengan makna, menyentuh hati dan menyedarkan penulis tentang tanggungjawab kita.

Sekarang tibalah giliran penulis pula untuk menjadi murabbi yang dapat menyentuh hati para mad'u nya, membawa mereka berhijrah kepada yang lebih baik dan membina peribadi muslim yang sejati.


bermulalah kembara mencari ruh murabbi ….


p/s: salah dan silap harap diperbetulkan dan dimaafkan...

Tuesday, August 31, 2010

Pencarian bermula!



Rehlah Masyi: menghayati Perang Badar Qubra

Baru-baru ini penulis ada menyertai Rehlah Masyi yang diadakan di kawasan Kulim, Kedah. Aktiviti ini disertai oleh ramai peserta yang terdiri daripada pelajar universiti, pelajar sekolah dan tidak lupa juga yang sudah bekerja. Usai menunaikan solat fardhu Asar di Masjid Kulim, kami pun berkumpul di perkarangan masjid untuk mendengar beberapa taklimat sebelum mengembara sejauh 5 km.

Tujuan aktiviti ini ialah untuk memberi penghayatan kepada para peserta tentang perang Badar. Perang Badar merupakan salah satu peristiwa bersejarah untuk umat Islam. Ibrah atau pengajaran yang boleh diambil sangat banyak. Maka, Rehlah ini cuba untuk memberikan simulasi perang Badar tu kepada kami, bagaimana rasanya berjalan menuju ke tempat perang dalam keadaan berpuasa. Bezanya, kami cuma mengembara sejauh 5 km sedangkan para sahabat mengembara sejauh 500 km untuk ke tempat perang.

Setelah mengembara, kami diberikan sedikit pengisian rohani berkaitan sejarah perang badar serta penghayatannya. Usai mendengar pengisian, kami Iftar bersama, solat Maghrib, Isyak, dan solat sunat Tarawikh. Program tamat setelah habisnya solat sunat Tarawikh.

Berikut adalah beberapa gambar yang diambil sepanjang program:


Mendengar taklimat Bersiap sedia untuk 'perang'
Kembara bermula penat dan letih!


Berehat sebentar dihadapan tangki air
sambung kembara melangkah dengan pasti!


Destinasi Sekolah Jelutong

Iftar 'harta rampasan perang' =)



menunaikan solat tanda kesyukuran

Friday, August 20, 2010

Ramadhan

Tanpa disedari kita sudah pun melepasi 10 Ramadhan. Masa berlalu dengan pantas sehingga kita tak sedar akan pemergiannya. Eloklah kita evaluasi balik hasil tarbiyyah Ramadhan kita, adakah mencapai objektif puasa kita atau puasa itu cuma sekadar lapar dan dahaga?


"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."

Al-Baqarah : 183

Sesiapa sahaja yang selalu menghadiri seminar fiqh puasa pasti mengetahui matlamat kita berpuasa berdasarkan firman Allah S.W.T diatas. Tujuan kita berpuasa tidak lain tidak bukan ialah "...agar kamu berqakwa" . Maka lihat semula ke dalam diri kita, adakah sepanjang bulan Ramadhan ini ketaqwaan kita bertambah, berkurang, atau mendatar(tak berubah)?

Jika meningkat, Alhamdulillah! Jika selain daripada itu, maka eloklah baki Ramadhan yang ada digunakan sebaik-baiknya untuk menambah lagi ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T.

Sangat rugilah jika puasa yang kita lakukan itu hanya membuahkan penat, lapar dan dahaga. Bunga keimanan dan ketaqwaan yang kita cari pula tidak dapat. Maka muhasabah diri semula, lihat ke dalam diri, betulkan apa yang tidak betul. Moga-moga Ramadhan kali ini menjadi satu madrasah untuk mendidik kita menjadi seorang yang bertaqwa kepada Allah. S.W.T


Ramadhan, semakin hari semakin menjauhi... =(


p/s: update ringkas sebelum bertolak ke Kedah...

Saturday, August 7, 2010

Jatuh cinta?



Sebelum ini, bila aku jatuh cinta….

Bayangan si dia sering menghiasi pandangan mata. Ketika bersua dengannya, jantung ini mula berdegup laju.Ingin sahaja aku menatap wajahnya. Walaupun dia tunduk malu dari pandangan ku, akan aku tatap wajahnya dari jauh. Mengintai kecantikannya di balik orang ramai. Sungguh! kecantikan, sopan santunnya menarik perhatian ku. Melihat si dia tersenyum membuatkan aku merasa bahagia laksana sedang terbang di taman-taman syurga bersama si dia mencari kebahagian yang hakiki. Alangkah bagusnya jika senyuman itu dapat ku miliki.

Tiap kali aku menerima mesej dari si dia, gembiranya di hati ini hanya tuhan sahaja yang tahu. Aku cuba untuk memanjangkan lagi 'perbualan' kami. Bertanya banyak perkara tentang dirinya, meluahkan hati masing-masing, dan banyak lagi. Tidak pernah sekali pun aku rasa bosan 'berbual' dengan nya walaupun berjam-jam lama nya kami berbual, berpuluh-puluh ringgit duit yang habis, tidak pernah sesekali pun aku menyesal. Bila aku rindu padanya, aku lihat semula semua mesej yang dihantarnya. Walaupun mesej itu tiada ucapan cinta namun ia sudah cukup untuk mengubat rindu ku.

Bila malam tiba, hati aku semakin gelisah. Gelisah memikirkan tentang si dia. Tidur ku tidak lena. Ku pusing kiri, ku pusing kanan namun masih lagi tidak dapat lena. Wajah si dia sentiasa menghiasa kaca mata. Pejam mata pun ku lihat dia, celik pun ku lihat dia. Aku mula hanyut dek angan-angan, membayangkan betapa indahnya bila kami dapat bersama. Bersama-sama mencari pelangi cinta di balik awan-awan rindu, berlari anak di rumpunan kasih. Wah! Alangkah indahnya jika angan ku itu menjadi kenyataan. Satu mesej 'selamat malam' ku kirimkan kepada si dia dengan harapan dia membalasnya semula. Seperti yang dijangka, mesej ku dibalas. Aku senyum bahagia dan terus masuk tidur, berharap agar aku mendapat mimpi yang indah. Ya! Mimpi yang indah bertemu dengan si dia….


Selepas aku ditarbiyyah, bila aku jatuh cinta…..

Tidak dinafikan kecantikan dan kesopannya membuatkan aku jatuh cinta dengan si dia. Tiap kali bersua, jantung ini berdegup kencang. Lirik matanya dan senyumannya membuatkan aku nyaris pengsan. Pesonanya lirikan mata dan senyuman si dia itu hanya tuhan sahaja yang tahu. Namun, aku cepat-cepat memalihkan pandangan ku bila kami bersua. Memang cantik, namun disebalik kecantikan itu ada panahan-panahan syaitan yang cuba untuk meruntuhkan benteng iman ku. Maka, aku cuba untuk tidak bersua dengan nya kecuali jika perlu. Tiap kali berbicara aku cuba menjaga pandangan ku. Bayangan kecantikan si dia cuba aku padam dari ingatan kerana ia ibarat bisikan syaitan yang seakan bisikan malaikat.

Apabila si dia menghantar mesej kepada ku, aku menjawabnya dengan sekadar sahaja. Tidak mahu aku memanjangkan lagi 'perbicaraan' tersebut. Walaupun ia cuma mesej biasa, aku perlu berhati-hati. Syaitan itu sangat licik. Boleh sahaja dia menyerang iman ku dari pelbagai arah. Maka aku perlu berwaspada apatah lagi iman aku dijadikan taruhan.

Bila malam menjelma, bila hati ini mula gelisah teringat akan si dia, bila kecantikan dan keayuan si dia menerjah ke dalam minda ku, aku segera beristighfar. Memohon keampunan dan pelindung daripada Allah s.w.t. Aku bingkas bangun mengambil wuduk. Sejadah dibentangkan menghadap kiblat. Solat didirikan dengan penuh khusyuk. Usai solat aku memohon pelindungan daripada Allah, perlindungan daripada fitnah wanita. Lega namun bayangan si dia masih lagi bermain-main di fikiran. Lantas al-Quran ku capai dan ku baca. Beberapa ayat suci itu aku baca dengan tartil dan usai membaca aku mentaddabur ayat tersebut. Lelah, aku cuba melelapkan mata merehatkan jiwa. Namun bayangan si dia masih lagi wujud di fikiran. Lantas aku mengambil tasbih dan mula berzikir memuji tuhan berharap agar bayangan si dia itu lesap daripada fikiran ku. Sambil berbaring, aku melafazkan zikir dengan harapan bayangan tersebut akan hilang. Akhirnya aku terlelap dalam memuji Allah s.w.t yang maha agung lagi maha berkuasa.

Bukannya aku cuba lari dari kenyataan
Bukannya aku membenci si dia
Aku cuma ingin menjaga iman ku

Aku tidak mahu untuk melayan cinta
Dan juga tidak mahu melawan nya

Sebaliknya aku cuba untuk mengelaknya
Jika cinta tersebut membuatkan iman aku berkurang..

Aku tidak mahu iman aku dicuri oleh si dia
Walaupun dia tidak sengaja

Dan aku tidak mahu pula menjadi pencuri iman si dia
Walaupun aku tidak sengaja

Biarlah aku menjaga iman ku

Aku tidak mahu mengejar sesuatu yang tak pasti.

Cinta ku itu biarlah berlandaskan cinta kepada Allah

Dan dicurahkan kepda dia yang sepatutnya

Dia yang ketika itu ku panggil sebagai 'isteri'



p/s: 'aku' dan 'dia' di dalam post ini tidak ada kaitan dengan mana-mana individu mahupun penulis sendiri. Ia hanyalah 'medium' yang digunakan oleh penulis untuk menyampaikan sesuatu.Harap maklum.

Sunday, August 1, 2010

Sudah 1 tahun....

Alhamdulillah, syukur kepada ilahi, tuhan sekalian alam, yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan siang dan malam. Sungguh, tanpa nikmat dan bantuan daripada-Nya pasti kita tidak mampu pun untuk hidup apatah lagi nak bernafas.

Sudah 1 tahun rupanya! Penulis tak sedar yang blog 'perjalananku' ini sudah pun berusia 1 tahun sejak dua minggu yang lepas. Subhanallah! Masa berlalu sangat pantas. Bila melihat semula post-post yang terdahulu membuatkan penulis merasa puas. Walaupun mungkin yang membacanya sikit, ataupun isi yang disampaikan kurang berilmiah, namun ia tidak sesekali pun mematahkan semangat penulis untuk menulis.

Untuk post kali ini, penulis akan bercerita sedikit tentang blog 'perjalananku' ini.


Ibnusharif89.blogspot.com| Perjalananku

Kenapa menulis blog?

Soalan yang selalu diajukan kepada penulis; kenapa menulis blog? Ada beberapa sebab kenapa penulis menulis blog.

Yang pertama, tujuan terciptanya blog ini adalah untuk berdakwah mengajak rakan-rakan kembali kepada islam. Selepas disarankan oleh murabbi/naqib, penulis pun mula mengorak langkah untuk menulis blog dengan harapan blog ini sedikit sebanyak dapat memberi kefahaman sekaligus membawa para pembaca untuk kembali kepada islam.

Kata murabbi/naqib penulis

"Ana galakkan antum menulis blog sebab itu pun salah satu medium berdakwah"

Yang kedua ialah untuk meningkatkan lagi kemahiran menulis. Jikalau para pembaca perasan, kebanyakkan tulisan yang penulis post semuanya menggunakan ayat-ayat yang 'skema', formal dan sebagainya. Bukannya nak menunjuk tetapi untuk memahirkan dan mengembangkan lagi gaya penulisan penulis. Sebab itu penulis menggunakan kata ganti diri 'penulis' dan bukannya saya atau aku (penulis nampak formal sikit).

Yang ketiga ialah untuk menggalakkan diri ini untuk membaca. Mustahil untuk seseorang itu memberi jika dia tidak mempunyai apa-apa. Maka jika penulis hendak menyampaikan 'sesuatu', penulis perlu ada 'sesuatu' dan 'sesuatu' itu hanya akan dapat jika penulis membaca. Bukan setakat itu sahaja, membaca juga perlu untuk penulis membaiki gaya penulisan dan juga struktur ayat. Contohnya, novel-novel sering penulis jadikan rujukan dalam membina ayat yang lebih efektif lagi berkesan.


Kenapa blog ini dinamakan 'perjalananku'?


Penulis ada menyatakan hasrat untuk menulis blog kepada seorang rakan. Setelah berbincang dia pun mengilhamkan sesuatu.

"anta nak buat blog ye? Blog yang macam mana?"
"ana pun tak pasti la. Cadangan antum?"
"anta buat blog berkaitan tentang kehidupan anta lepas tu anta selitkan sedikit pengajaran daripada kisah tu. Barulah nampak best sikit"


Maka lahirlah nama 'perjalananku' yang menerangkan sedikit sebanyak tentang hidup penulis yang Insya-Allah dapat memberi sedikit sebanyak iktibar kepada para pembaca.


Apa pandangan orang lain tentang blog 'perjalananku'?

Penulis tak tahu nak kata apa. Lihat sahajalah respon para pembaca di bawah

"oklah" -kata keluarga di rumah

"ok, boleh tahan" - kata rakan se halaqah/usrah

"menarik juga" - kata murrabi/naqib

"terlalu ilmiah sangat la" - kata rakan sekuliah

"kurang ilmiah lah " - kata rakan sefikrah

Jadi kesimpulannya, blog ini boleh dikatakan 'OK', tidak terlalu teruk ataupun baik. Insya-Allah penulis akan berusaha untuk menghasilkan penulisan-penulisan yang lebih baik lagi dan yang pentingnya isi yang ingin disampaikan itu penting dan dapat diterima oleh para pembaca.


Rancangan pada masa hadapan?

Insya-Allah blog ini akan dikekalkan sampai bila-bila selagi mana penulis masih lagi mampu untuk hidup dan menulis. Penulis ada merancang untuk membuka satu lagi blog baru yang khusus membincangkan hal berkaitan perbandingan agama. Sebagai salah seorang pelajar kelas perbandingan agama, penulis rasa amat wajarlah blog tersebut dibuat dan rakan-rakan juga menyokong cadangan tersebut. Cuma, proses perlaksanaanya mungkin mengambil masa yang lama kerana kekangan masa yang dihadapi oleh penulis. Apa-apa pun, doakan semoga blog tersebut dapat dibuat.

Mungkin post akan datang banyak bertemakan cerpen sebab penulis merasakan penceritaan merupakan satu medium yang amat sesuai untuk menyampaikan sesuatu. Walaupun penulis tidaklah sehebat seperti penulis novel yang lain, namun itu tidak beerti penulis tidak boleh menulis. Jadi, nantikan sahaja beberapa cerpen yang bakal keluar tak lama lagi.

Akhir kalam, penulis ingin mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t kerana dengan limpah dan kurnianya, penulis masih lagi beristiqamah menulis. Tidak lupa juga terima kasih kepada pembaca setia walaupun sebahagiannya penulis kenal dan sebahagiannya pula tidak. Dan juga kepada 'pengikut' yang berdaftar, terima kasih kerana menjadi 'pengikut'.


Setinggi mana pun ilmu seseorang itu tetapi jika dia tidak menulis, maka sia-sia sahaja ilmunya itu


Syukran jazilan!