Tuesday, August 31, 2010

Rehlah Masyi: menghayati Perang Badar Qubra

Baru-baru ini penulis ada menyertai Rehlah Masyi yang diadakan di kawasan Kulim, Kedah. Aktiviti ini disertai oleh ramai peserta yang terdiri daripada pelajar universiti, pelajar sekolah dan tidak lupa juga yang sudah bekerja. Usai menunaikan solat fardhu Asar di Masjid Kulim, kami pun berkumpul di perkarangan masjid untuk mendengar beberapa taklimat sebelum mengembara sejauh 5 km.

Tujuan aktiviti ini ialah untuk memberi penghayatan kepada para peserta tentang perang Badar. Perang Badar merupakan salah satu peristiwa bersejarah untuk umat Islam. Ibrah atau pengajaran yang boleh diambil sangat banyak. Maka, Rehlah ini cuba untuk memberikan simulasi perang Badar tu kepada kami, bagaimana rasanya berjalan menuju ke tempat perang dalam keadaan berpuasa. Bezanya, kami cuma mengembara sejauh 5 km sedangkan para sahabat mengembara sejauh 500 km untuk ke tempat perang.

Setelah mengembara, kami diberikan sedikit pengisian rohani berkaitan sejarah perang badar serta penghayatannya. Usai mendengar pengisian, kami Iftar bersama, solat Maghrib, Isyak, dan solat sunat Tarawikh. Program tamat setelah habisnya solat sunat Tarawikh.

Berikut adalah beberapa gambar yang diambil sepanjang program:


Mendengar taklimat Bersiap sedia untuk 'perang'
Kembara bermula penat dan letih!


Berehat sebentar dihadapan tangki air
sambung kembara melangkah dengan pasti!


Destinasi Sekolah Jelutong

Iftar 'harta rampasan perang' =)



menunaikan solat tanda kesyukuran

Friday, August 20, 2010

Ramadhan

Tanpa disedari kita sudah pun melepasi 10 Ramadhan. Masa berlalu dengan pantas sehingga kita tak sedar akan pemergiannya. Eloklah kita evaluasi balik hasil tarbiyyah Ramadhan kita, adakah mencapai objektif puasa kita atau puasa itu cuma sekadar lapar dan dahaga?


"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."

Al-Baqarah : 183

Sesiapa sahaja yang selalu menghadiri seminar fiqh puasa pasti mengetahui matlamat kita berpuasa berdasarkan firman Allah S.W.T diatas. Tujuan kita berpuasa tidak lain tidak bukan ialah "...agar kamu berqakwa" . Maka lihat semula ke dalam diri kita, adakah sepanjang bulan Ramadhan ini ketaqwaan kita bertambah, berkurang, atau mendatar(tak berubah)?

Jika meningkat, Alhamdulillah! Jika selain daripada itu, maka eloklah baki Ramadhan yang ada digunakan sebaik-baiknya untuk menambah lagi ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T.

Sangat rugilah jika puasa yang kita lakukan itu hanya membuahkan penat, lapar dan dahaga. Bunga keimanan dan ketaqwaan yang kita cari pula tidak dapat. Maka muhasabah diri semula, lihat ke dalam diri, betulkan apa yang tidak betul. Moga-moga Ramadhan kali ini menjadi satu madrasah untuk mendidik kita menjadi seorang yang bertaqwa kepada Allah. S.W.T


Ramadhan, semakin hari semakin menjauhi... =(


p/s: update ringkas sebelum bertolak ke Kedah...

Saturday, August 7, 2010

Jatuh cinta?



Sebelum ini, bila aku jatuh cinta….

Bayangan si dia sering menghiasi pandangan mata. Ketika bersua dengannya, jantung ini mula berdegup laju.Ingin sahaja aku menatap wajahnya. Walaupun dia tunduk malu dari pandangan ku, akan aku tatap wajahnya dari jauh. Mengintai kecantikannya di balik orang ramai. Sungguh! kecantikan, sopan santunnya menarik perhatian ku. Melihat si dia tersenyum membuatkan aku merasa bahagia laksana sedang terbang di taman-taman syurga bersama si dia mencari kebahagian yang hakiki. Alangkah bagusnya jika senyuman itu dapat ku miliki.

Tiap kali aku menerima mesej dari si dia, gembiranya di hati ini hanya tuhan sahaja yang tahu. Aku cuba untuk memanjangkan lagi 'perbualan' kami. Bertanya banyak perkara tentang dirinya, meluahkan hati masing-masing, dan banyak lagi. Tidak pernah sekali pun aku rasa bosan 'berbual' dengan nya walaupun berjam-jam lama nya kami berbual, berpuluh-puluh ringgit duit yang habis, tidak pernah sesekali pun aku menyesal. Bila aku rindu padanya, aku lihat semula semua mesej yang dihantarnya. Walaupun mesej itu tiada ucapan cinta namun ia sudah cukup untuk mengubat rindu ku.

Bila malam tiba, hati aku semakin gelisah. Gelisah memikirkan tentang si dia. Tidur ku tidak lena. Ku pusing kiri, ku pusing kanan namun masih lagi tidak dapat lena. Wajah si dia sentiasa menghiasa kaca mata. Pejam mata pun ku lihat dia, celik pun ku lihat dia. Aku mula hanyut dek angan-angan, membayangkan betapa indahnya bila kami dapat bersama. Bersama-sama mencari pelangi cinta di balik awan-awan rindu, berlari anak di rumpunan kasih. Wah! Alangkah indahnya jika angan ku itu menjadi kenyataan. Satu mesej 'selamat malam' ku kirimkan kepada si dia dengan harapan dia membalasnya semula. Seperti yang dijangka, mesej ku dibalas. Aku senyum bahagia dan terus masuk tidur, berharap agar aku mendapat mimpi yang indah. Ya! Mimpi yang indah bertemu dengan si dia….


Selepas aku ditarbiyyah, bila aku jatuh cinta…..

Tidak dinafikan kecantikan dan kesopannya membuatkan aku jatuh cinta dengan si dia. Tiap kali bersua, jantung ini berdegup kencang. Lirik matanya dan senyumannya membuatkan aku nyaris pengsan. Pesonanya lirikan mata dan senyuman si dia itu hanya tuhan sahaja yang tahu. Namun, aku cepat-cepat memalihkan pandangan ku bila kami bersua. Memang cantik, namun disebalik kecantikan itu ada panahan-panahan syaitan yang cuba untuk meruntuhkan benteng iman ku. Maka, aku cuba untuk tidak bersua dengan nya kecuali jika perlu. Tiap kali berbicara aku cuba menjaga pandangan ku. Bayangan kecantikan si dia cuba aku padam dari ingatan kerana ia ibarat bisikan syaitan yang seakan bisikan malaikat.

Apabila si dia menghantar mesej kepada ku, aku menjawabnya dengan sekadar sahaja. Tidak mahu aku memanjangkan lagi 'perbicaraan' tersebut. Walaupun ia cuma mesej biasa, aku perlu berhati-hati. Syaitan itu sangat licik. Boleh sahaja dia menyerang iman ku dari pelbagai arah. Maka aku perlu berwaspada apatah lagi iman aku dijadikan taruhan.

Bila malam menjelma, bila hati ini mula gelisah teringat akan si dia, bila kecantikan dan keayuan si dia menerjah ke dalam minda ku, aku segera beristighfar. Memohon keampunan dan pelindung daripada Allah s.w.t. Aku bingkas bangun mengambil wuduk. Sejadah dibentangkan menghadap kiblat. Solat didirikan dengan penuh khusyuk. Usai solat aku memohon pelindungan daripada Allah, perlindungan daripada fitnah wanita. Lega namun bayangan si dia masih lagi bermain-main di fikiran. Lantas al-Quran ku capai dan ku baca. Beberapa ayat suci itu aku baca dengan tartil dan usai membaca aku mentaddabur ayat tersebut. Lelah, aku cuba melelapkan mata merehatkan jiwa. Namun bayangan si dia masih lagi wujud di fikiran. Lantas aku mengambil tasbih dan mula berzikir memuji tuhan berharap agar bayangan si dia itu lesap daripada fikiran ku. Sambil berbaring, aku melafazkan zikir dengan harapan bayangan tersebut akan hilang. Akhirnya aku terlelap dalam memuji Allah s.w.t yang maha agung lagi maha berkuasa.

Bukannya aku cuba lari dari kenyataan
Bukannya aku membenci si dia
Aku cuma ingin menjaga iman ku

Aku tidak mahu untuk melayan cinta
Dan juga tidak mahu melawan nya

Sebaliknya aku cuba untuk mengelaknya
Jika cinta tersebut membuatkan iman aku berkurang..

Aku tidak mahu iman aku dicuri oleh si dia
Walaupun dia tidak sengaja

Dan aku tidak mahu pula menjadi pencuri iman si dia
Walaupun aku tidak sengaja

Biarlah aku menjaga iman ku

Aku tidak mahu mengejar sesuatu yang tak pasti.

Cinta ku itu biarlah berlandaskan cinta kepada Allah

Dan dicurahkan kepda dia yang sepatutnya

Dia yang ketika itu ku panggil sebagai 'isteri'



p/s: 'aku' dan 'dia' di dalam post ini tidak ada kaitan dengan mana-mana individu mahupun penulis sendiri. Ia hanyalah 'medium' yang digunakan oleh penulis untuk menyampaikan sesuatu.Harap maklum.

Sunday, August 1, 2010

Sudah 1 tahun....

Alhamdulillah, syukur kepada ilahi, tuhan sekalian alam, yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan siang dan malam. Sungguh, tanpa nikmat dan bantuan daripada-Nya pasti kita tidak mampu pun untuk hidup apatah lagi nak bernafas.

Sudah 1 tahun rupanya! Penulis tak sedar yang blog 'perjalananku' ini sudah pun berusia 1 tahun sejak dua minggu yang lepas. Subhanallah! Masa berlalu sangat pantas. Bila melihat semula post-post yang terdahulu membuatkan penulis merasa puas. Walaupun mungkin yang membacanya sikit, ataupun isi yang disampaikan kurang berilmiah, namun ia tidak sesekali pun mematahkan semangat penulis untuk menulis.

Untuk post kali ini, penulis akan bercerita sedikit tentang blog 'perjalananku' ini.


Ibnusharif89.blogspot.com| Perjalananku

Kenapa menulis blog?

Soalan yang selalu diajukan kepada penulis; kenapa menulis blog? Ada beberapa sebab kenapa penulis menulis blog.

Yang pertama, tujuan terciptanya blog ini adalah untuk berdakwah mengajak rakan-rakan kembali kepada islam. Selepas disarankan oleh murabbi/naqib, penulis pun mula mengorak langkah untuk menulis blog dengan harapan blog ini sedikit sebanyak dapat memberi kefahaman sekaligus membawa para pembaca untuk kembali kepada islam.

Kata murabbi/naqib penulis

"Ana galakkan antum menulis blog sebab itu pun salah satu medium berdakwah"

Yang kedua ialah untuk meningkatkan lagi kemahiran menulis. Jikalau para pembaca perasan, kebanyakkan tulisan yang penulis post semuanya menggunakan ayat-ayat yang 'skema', formal dan sebagainya. Bukannya nak menunjuk tetapi untuk memahirkan dan mengembangkan lagi gaya penulisan penulis. Sebab itu penulis menggunakan kata ganti diri 'penulis' dan bukannya saya atau aku (penulis nampak formal sikit).

Yang ketiga ialah untuk menggalakkan diri ini untuk membaca. Mustahil untuk seseorang itu memberi jika dia tidak mempunyai apa-apa. Maka jika penulis hendak menyampaikan 'sesuatu', penulis perlu ada 'sesuatu' dan 'sesuatu' itu hanya akan dapat jika penulis membaca. Bukan setakat itu sahaja, membaca juga perlu untuk penulis membaiki gaya penulisan dan juga struktur ayat. Contohnya, novel-novel sering penulis jadikan rujukan dalam membina ayat yang lebih efektif lagi berkesan.


Kenapa blog ini dinamakan 'perjalananku'?


Penulis ada menyatakan hasrat untuk menulis blog kepada seorang rakan. Setelah berbincang dia pun mengilhamkan sesuatu.

"anta nak buat blog ye? Blog yang macam mana?"
"ana pun tak pasti la. Cadangan antum?"
"anta buat blog berkaitan tentang kehidupan anta lepas tu anta selitkan sedikit pengajaran daripada kisah tu. Barulah nampak best sikit"


Maka lahirlah nama 'perjalananku' yang menerangkan sedikit sebanyak tentang hidup penulis yang Insya-Allah dapat memberi sedikit sebanyak iktibar kepada para pembaca.


Apa pandangan orang lain tentang blog 'perjalananku'?

Penulis tak tahu nak kata apa. Lihat sahajalah respon para pembaca di bawah

"oklah" -kata keluarga di rumah

"ok, boleh tahan" - kata rakan se halaqah/usrah

"menarik juga" - kata murrabi/naqib

"terlalu ilmiah sangat la" - kata rakan sekuliah

"kurang ilmiah lah " - kata rakan sefikrah

Jadi kesimpulannya, blog ini boleh dikatakan 'OK', tidak terlalu teruk ataupun baik. Insya-Allah penulis akan berusaha untuk menghasilkan penulisan-penulisan yang lebih baik lagi dan yang pentingnya isi yang ingin disampaikan itu penting dan dapat diterima oleh para pembaca.


Rancangan pada masa hadapan?

Insya-Allah blog ini akan dikekalkan sampai bila-bila selagi mana penulis masih lagi mampu untuk hidup dan menulis. Penulis ada merancang untuk membuka satu lagi blog baru yang khusus membincangkan hal berkaitan perbandingan agama. Sebagai salah seorang pelajar kelas perbandingan agama, penulis rasa amat wajarlah blog tersebut dibuat dan rakan-rakan juga menyokong cadangan tersebut. Cuma, proses perlaksanaanya mungkin mengambil masa yang lama kerana kekangan masa yang dihadapi oleh penulis. Apa-apa pun, doakan semoga blog tersebut dapat dibuat.

Mungkin post akan datang banyak bertemakan cerpen sebab penulis merasakan penceritaan merupakan satu medium yang amat sesuai untuk menyampaikan sesuatu. Walaupun penulis tidaklah sehebat seperti penulis novel yang lain, namun itu tidak beerti penulis tidak boleh menulis. Jadi, nantikan sahaja beberapa cerpen yang bakal keluar tak lama lagi.

Akhir kalam, penulis ingin mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t kerana dengan limpah dan kurnianya, penulis masih lagi beristiqamah menulis. Tidak lupa juga terima kasih kepada pembaca setia walaupun sebahagiannya penulis kenal dan sebahagiannya pula tidak. Dan juga kepada 'pengikut' yang berdaftar, terima kasih kerana menjadi 'pengikut'.


Setinggi mana pun ilmu seseorang itu tetapi jika dia tidak menulis, maka sia-sia sahaja ilmunya itu


Syukran jazilan!

Tuesday, July 20, 2010

Kesibukan....

Assalamualaikum

Baru sahaja memasuki minggu kedua tetapi kesibukan mula terasa. Mungkin ini adalah perkara biasa buat penulis ketika sem baru bermula. Namun, kesibukan yang dialami untuk kali ini memang memenatkan. Jika difikir semula, mustahil untuk penulis menguruskan segalanya. Iri hati juga pada sahabat-sahabat sekuliah yang ada waktu untuk berehat, berseronok, dan waktu belajar yang tetap. Penulis pula, lepas kuliah ada meeting, lepas meeting kena siapkan kerja dan kitaran tu berulang setiap hari. Penat, lagi penat apabila apa yang kita usahakan tidak membuahkan hasil. Namun penulis sedar, itu cuma ujian daripada Allah. Allah nak menguji penulis samada bila penulis dilanda musibah adakah penulis akan mengingati-Nya? Takala mempunyai masa senggang apakah penulis manfaatkan masa tersebut? Ya, aku sedang diuji....

Ya Allah! permudahkanlah segala urusanku



Ujian itu Tarbiyyah | Ada hikmahnya..


p/s : blog Perjalananku mungkin akan berhenti beroperasi buat sementara waktu. Mungkin setelah penulis menyesuaikan diri dengan kesibukan barulah blog ini akan beroperasi semula. Insya-Allah, beberapa cerpen sedang dalam pembikinan =)

Sunday, July 11, 2010

Selamat kembali~~

Kepada semua pembaca juga sahabat penulis yang bakal memulakan pengajian mereka semula di universiti/kolej masing-masing

SELAMAT KEMBALI KE DEWAN KULIAH


Dewan Kuliah | Ilmu dituntut dengan sabar

Saturday, July 10, 2010

USM episode 0

Kegembiraan terpancar di muka pelajar-pelajar baru. Mana tidaknya, kini mereka sudah pun bergelar mahasiswa USM, salah sebuah universiti yang terkenal di Malaysia.Melihat gelagat mereka membuatkan penulis teringat kisah silam saat kaki ini dijejakkan ke USM.



USM |Desasiswa Restu


Penulis ingat lagi ketika mendapat tawaran memasuki USM dalam bidang farmasi,hati ini berasa berat dan takut untuk menerimanya. Namun itu sahaja peluang yang ada, maka penulis pun menerima tawaran tersebut. Bila berita tersebut sampai ke pengetahuan mak dan ayah, ayah sangat gembira tetapi mak pula khuatir dengan tawaran tersebut.

"penang? Jauhnya. Susahlah mak nak tengok abang."
"Takpe, abang ok jer.."
"Betul ni?"
"betul.."

Maka hati pun telah tetap untuk menerima tawaran tersebut. Surat tawaran kemasukkan akhirnya sampai ke rumah. Ketika membaca surat tersebut penulis tersentak. Dinyatakan pada surat tersebut yang para pelajar perlu deposit yuran sebelum hadir ke USM. Tercatat di situ yuran pengajian sains farmasi : RM 17XX!

"RM17xx! Kat mana nak cari duit banyak tu"

Gelisah! Amaun itu sangat tinggi buat keluarga penulis untuk membayarnya ketika itu. Masa yang ada terhad maka mak pun mencadangkan supaya kami meminjam daripada saudara mara. Bagi penulis, cadangan itu kurang bagus sebab saudara-mara kami bukanlah orang-orang berada. Maka timbul lah lagi satu pilihan; tolak tawaran tersebut, bekerja, setelah mempunyai wang yang cukup baru sambung belajar.

Takala penulis merasakan tawaran ke USM patut ditolak, tiba-tiba hati ini terdetik untuk menelefon pusat bendahari USM untuk berbincang. Alangkah terkejutnya penulis mendengar jawapan yang diberikan oleh staf USM tersebut.

"Oh, adik jangan risau. Adik boleh bayar RM450 dahulu di bank Islam dan selebihnya adik bayar selepas mendapat pinjaman nanti."

Alhamdulillah! Gembiranya hanya tuhan sahaja yang tahu. Mak dan ayah juga tumpang gembira. Apa yang kelakarnya ialah sehari sebelum berangkat ke USM, penulis menerima cek RM1500 daripada PTPTN. Kalau cek tersebut sampai lebih awal, mungkin penulis dan keluarga tak pening-pening mencari jalan penyelesaian untuk membayar hutang. Cek tersebut telah penulis 'cash in'kan sebaik sahaja tiba di USM untuk membayar yuran pengajian.

Penulis masih lagi ingat ketika hendak mendepositkan wang RM450 ke dalam akaun USM, ada seorang budak perempuan cuba untuk membuat perkara yang sama sebagaimana yang penulis sedang buat tetapi ditolak oleh pegawai bank tersebut. Alasannya budak perempuan tersebut mendapat tawaran daripada kampus kesihatan dan bukannya kampus induk, maka dia perlu membuat bayaran penuh. Sedih mengenangkan nasib dia namun pada masa yang sama penulis rasa bersyukur kerana diberi peluang jika tidak nasib penulis mungkin seperti budak perempuan tadi.


Sains Farmasi | Dewan Kuliah X

Memulakan kehidupan di USM memerlukan belanja yang banyak apatah lagi taraf hidup di Penang adalah tinggi. Penulis ada memohon biasiswa JPA dan PTPTN hasil dari bantuan kakak. Namun ia masih tidak menghilangkan perasaan takut di dalam hati penulis. Takut takala sedang belajar duit pula habis dan keluarga terpaksa bekerja keras untuk menghantar duit kepada penulis. Ketika tiba di USM, penulis bercadang untuk membuat kerja sambilan bagi menambah duit poket. Pernah sekali penulis men'survey' kerja kosong di Ivory plaza berdekatan dengan desasiswa yang penulis diami.

Sedang hati dilanda gelisah, Allah takdirkan penulis mendapat tawaran biasiswa JPA. Gembiranya di hati hanya tuhan sahaja yang tahu. Jumlah yang diberikan amat banyak, lebih dari cukup untuk hidup di USM. Penulis tidak perlu lagi meminta duit daripada keluarga sebaliknya penulis pula yang memberi sedikit duit biasiswa kepada mereka.

Begitulah al-kisah penulis ketika mula memasuki USM. Lucu pula bila penulis kenang kembali. Segala ketentuan yang berlaku pada diri penulis membuatkan diri ini merasakan keagungan Allah s.w.t yang mentadbir kehidupan manusia dengan bijak, adil, dan saksama. Subhanallah!

Kini, setelah beberapa tahun berada di USM baru penulis sedar akan hikmah yang cuba Allah berikan. Perubahan pada diri, pandangan dan juga gaya hidup. Rakan-rakan disekeliling yang banyak memberi bantuan dan dorongan sama ada mereka sedar atau tidak. Patutlah! Patutlah penulis ditakdirkan berada di USM ini. Semoga Allah berikan yang terbaik buat penulis dan juga para sahabat yang berada disekeliling.

~akhir kalam~