Monday, July 20, 2009

Andai mereka tahu akibatnya...

Original text: Azarahman, http://muslimkaffah.blospot.com

Suatu hari seorang kawan telah bertandang ke rumah saya dan dia telah tertekan satu suis yang akhirnya menyebabakan kami semua terpaksa berpanas dan bergelap sepanjang malam. Rasa ingin tahunya terhadap suis tersebut telah menyebabkan kesusahan kepada dirinya dan juga orang lain. Seandainya dia tahu akibat perbuatannya, mungkin dia tidak akan melakukannya. Suatu hari yang lain seorang saudara saya telah merasa amat menyesal kerana disaman oleh polis akibat melanggar peraturan lampu isyarat. Dia tidak menyedari ada polis dibelakang yang sedang membuat rondaan. Seandai dia tahu kewujudan polis tersebut , mungkin dia akan berhenti dan menunggu sehingga lampu kembali hijau.

Hakikatnya apabila manusia mengetahui akibat terhadap setiap perbuatan yang akan dilakukan, pasti kita akan menjadi manusia yang sangat berhati-hati. Seandainya kita begitu prihatin terhadap akibat yang bakal kita hadapi di dunia, bagaimana pula akibat yang bakal kita hadapi di akhirat?. Sedangkan balasan di akhirat itu pasti. Mereka yang berat timbangan amalnya akan mendapat syurga yang indah dan mereka yang berat timbangan dosanya akan dicampakkan ke dalam neraka yang azabnya terlalu pedih dan memeritkan, kesakitan yang akan berpanjangan dan seksaan yang tiada kesudahan, kepanasan yang membakar dan hidangan yang menjijikkan.

Balasan di akhirat bukanlah sesuatu yang diimaginasikan dan bukan juga sekadar angan-angan kosong. Ia merupakan sesuatu yang pasti! Melihat keadaan umat sekarang hati ini sayu dan penuh kegentaran. Apakah mereka tidak pernah membaca kalam-kalam tuhan yang maha pemurah dan sabda-sabda Rasul Al-mustofa yang penuh keprihatinan terhadap umatnya di akhir zaman. Pada masa ini wanita-wanita tidak segan silu lagi membiarkan perhiasan tubuh mereka dipamerkan tanpa ada seutas pun benang-benang malu. Keindahan mereka yang begitu diperlihara oleh islam dengan begitu eksklusif menjadi barang dagangan di pinggir-pinggir jalan. Lelaki zaman ini pula, begitu gah meratahi daging-daging yang busuk (zina) walau terhidang daging yang segar dan indah. Mereka semakin keliru dalam berpakaian dan berhias sehinnga emas dan sutera menjadi perhiasan di badan-badan mereka. Menjijikkan apabila kehausan umat ini hanya bisa hilang dengan arak, dan masalah mereka hanya akan selesai dengan berhibur. Sebahagian yang lain menjadi laknat apabila berusaha memenuhi naluri yang dikatkan terperangkap dalam jasad yang berbeza.Lelaki berusaha menjadi wanita dan demikian sebaliknya. Anak-anak kecil yang tak berdosa dibunuh tanpa ada rasa kemanusiaan. Aduh, apakah umat ini akan berterusan seperti ini? Pasti tidak seandainya mereka tahu akibatnya.

Ayuh,sedarlah saudara-saudaraku umat akhir zaman, Allah yang maha pengasih telah menerangkan segala-galanya kepada kita agar kita tahu akibat setiap perbuatan kita. Rasul Al-Amin telah menggambarkan kedahsyatan neraka dan seksaan yang dihadapi penghuni-penghuninya. Demikain juga Allah dan kekasihnya telah menerangkan tentang keindahan dan kedamaian syurga sebagai balasan untuk yang beramal dengan amal yang soleh. Ayuh kita segera bertaubat atas segala dosa yang telah kita lakukan kerana hanya yang demikian dapat menghapuskan kemurkaan Allah terhadap kita. Bersegeralah sebelum pintu yang seluas-luasnya dibuka untuk yang ingin kembali ditutup. Kepada saudaraku yang telah menempuh jalan rabbani, memiliki hati nurani yang jernih, dan telah mengetahui akibat setiap perbuatan kita didunia, selamatkanlah umat ini dengan jalan yang ditempuh rasul dan mereka yang telah dikurniakan nikmat dengan menjalankan Al-amru bil ma’ruf wa An-nahyu ‘anil munkar. Semoga kita semua berbahagia dan beroleh nikmat yang tak terhingga serta kekal di dalam syurga kerana itulah sebaik-baik tempat kembali.


Komen penulis

Pertama kali membaca penulisan ini membuatkan penulis terfikir tentang masalah yang melanda masyarakat kita sekarang ini. Isi yang ingin disampaikan jelas dan 'straight forward' .Dalam penulisan ini, saudara Azarahman bijak menyusun ayat dan membuat perkaitan tentang sesuatu kejadian dengan isi penting yang ingin disampaikan. Kebanyakkan penulisan saudara Azarahman mempunyai isi yang sangat penting yang ingin disampaikan kepada para pembaca. Penulis mencadangkan pembaca untuk melawat laman blog beliau dan cuba hayati apa yang ingin disampaikan. Moga-moga para pembaca mendapat sedikit ilmu daripada hasil penulisannya.

0 comments:

Post a Comment