Sudah 1 tahun rupanya! Penulis tak sedar yang blog 'perjalananku' ini sudah pun berusia 1 tahun sejak dua minggu yang lepas. Subhanallah! Masa berlalu sangat pantas. Bila melihat semula post-post yang terdahulu membuatkan penulis merasa puas. Walaupun mungkin yang membacanya sikit, ataupun isi yang disampaikan kurang berilmiah, namun ia tidak sesekali pun mematahkan semangat penulis untuk menulis.
Untuk post kali ini, penulis akan bercerita sedikit tentang blog 'perjalananku' ini.
Kenapa menulis blog?
Soalan yang selalu diajukan kepada penulis; kenapa menulis blog? Ada beberapa sebab kenapa penulis menulis blog.
Yang pertama, tujuan terciptanya blog ini adalah untuk berdakwah mengajak rakan-rakan kembali kepada islam. Selepas disarankan oleh murabbi/naqib, penulis pun mula mengorak langkah untuk menulis blog dengan harapan blog ini sedikit sebanyak dapat memberi kefahaman sekaligus membawa para pembaca untuk kembali kepada islam.
Kata murabbi/naqib penulis
"Ana galakkan antum menulis blog sebab itu pun salah satu medium berdakwah"
Yang kedua ialah untuk meningkatkan lagi kemahiran menulis. Jikalau para pembaca perasan, kebanyakkan tulisan yang penulis post semuanya menggunakan ayat-ayat yang 'skema', formal dan sebagainya. Bukannya nak menunjuk tetapi untuk memahirkan dan mengembangkan lagi gaya penulisan penulis. Sebab itu penulis menggunakan kata ganti diri 'penulis' dan bukannya saya atau aku (penulis nampak formal sikit).
Yang ketiga ialah untuk menggalakkan diri ini untuk membaca. Mustahil untuk seseorang itu memberi jika dia tidak mempunyai apa-apa. Maka jika penulis hendak menyampaikan 'sesuatu', penulis perlu ada 'sesuatu' dan 'sesuatu' itu hanya akan dapat jika penulis membaca. Bukan setakat itu sahaja, membaca juga perlu untuk penulis membaiki gaya penulisan dan juga struktur ayat. Contohnya, novel-novel sering penulis jadikan rujukan dalam membina ayat yang lebih efektif lagi berkesan.
Kenapa blog ini dinamakan 'perjalananku'?
Penulis ada menyatakan hasrat untuk menulis blog kepada seorang rakan. Setelah berbincang dia pun mengilhamkan sesuatu.
"anta nak buat blog ye? Blog yang macam mana?"
"ana pun tak pasti la. Cadangan antum?"
"anta buat blog berkaitan tentang kehidupan anta lepas tu anta selitkan sedikit pengajaran daripada kisah tu. Barulah nampak best sikit"
Maka lahirlah nama 'perjalananku' yang menerangkan sedikit sebanyak tentang hidup penulis yang Insya-Allah dapat memberi sedikit sebanyak iktibar kepada para pembaca.
Apa pandangan orang lain tentang blog 'perjalananku'?
Penulis tak tahu nak kata apa. Lihat sahajalah respon para pembaca di bawah
"oklah" -kata keluarga di rumah
"ok, boleh tahan" - kata rakan se halaqah/usrah
"menarik juga" - kata murrabi/naqib
"terlalu ilmiah sangat la" - kata rakan sekuliah
"kurang ilmiah lah " - kata rakan sefikrah
Jadi kesimpulannya, blog ini boleh dikatakan 'OK', tidak terlalu teruk ataupun baik. Insya-Allah penulis akan berusaha untuk menghasilkan penulisan-penulisan yang lebih baik lagi dan yang pentingnya isi yang ingin disampaikan itu penting dan dapat diterima oleh para pembaca.
Rancangan pada masa hadapan?
Insya-Allah blog ini akan dikekalkan sampai bila-bila selagi mana penulis masih lagi mampu untuk hidup dan menulis. Penulis ada merancang untuk membuka satu lagi blog baru yang khusus membincangkan hal berkaitan perbandingan agama. Sebagai salah seorang pelajar kelas perbandingan agama, penulis rasa amat wajarlah blog tersebut dibuat dan rakan-rakan juga menyokong cadangan tersebut. Cuma, proses perlaksanaanya mungkin mengambil masa yang lama kerana kekangan masa yang dihadapi oleh penulis. Apa-apa pun, doakan semoga blog tersebut dapat dibuat.
Mungkin post akan datang banyak bertemakan cerpen sebab penulis merasakan penceritaan merupakan satu medium yang amat sesuai untuk menyampaikan sesuatu. Walaupun penulis tidaklah sehebat seperti penulis novel yang lain, namun itu tidak beerti penulis tidak boleh menulis. Jadi, nantikan sahaja beberapa cerpen yang bakal keluar tak lama lagi.
Akhir kalam, penulis ingin mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t kerana dengan limpah dan kurnianya, penulis masih lagi beristiqamah menulis. Tidak lupa juga terima kasih kepada pembaca setia walaupun sebahagiannya penulis kenal dan sebahagiannya pula tidak. Dan juga kepada 'pengikut' yang berdaftar, terima kasih kerana menjadi 'pengikut'.
Syukran jazilan!
0 comments:
Post a Comment