Saturday, August 7, 2010

Jatuh cinta?



Sebelum ini, bila aku jatuh cinta….

Bayangan si dia sering menghiasi pandangan mata. Ketika bersua dengannya, jantung ini mula berdegup laju.Ingin sahaja aku menatap wajahnya. Walaupun dia tunduk malu dari pandangan ku, akan aku tatap wajahnya dari jauh. Mengintai kecantikannya di balik orang ramai. Sungguh! kecantikan, sopan santunnya menarik perhatian ku. Melihat si dia tersenyum membuatkan aku merasa bahagia laksana sedang terbang di taman-taman syurga bersama si dia mencari kebahagian yang hakiki. Alangkah bagusnya jika senyuman itu dapat ku miliki.

Tiap kali aku menerima mesej dari si dia, gembiranya di hati ini hanya tuhan sahaja yang tahu. Aku cuba untuk memanjangkan lagi 'perbualan' kami. Bertanya banyak perkara tentang dirinya, meluahkan hati masing-masing, dan banyak lagi. Tidak pernah sekali pun aku rasa bosan 'berbual' dengan nya walaupun berjam-jam lama nya kami berbual, berpuluh-puluh ringgit duit yang habis, tidak pernah sesekali pun aku menyesal. Bila aku rindu padanya, aku lihat semula semua mesej yang dihantarnya. Walaupun mesej itu tiada ucapan cinta namun ia sudah cukup untuk mengubat rindu ku.

Bila malam tiba, hati aku semakin gelisah. Gelisah memikirkan tentang si dia. Tidur ku tidak lena. Ku pusing kiri, ku pusing kanan namun masih lagi tidak dapat lena. Wajah si dia sentiasa menghiasa kaca mata. Pejam mata pun ku lihat dia, celik pun ku lihat dia. Aku mula hanyut dek angan-angan, membayangkan betapa indahnya bila kami dapat bersama. Bersama-sama mencari pelangi cinta di balik awan-awan rindu, berlari anak di rumpunan kasih. Wah! Alangkah indahnya jika angan ku itu menjadi kenyataan. Satu mesej 'selamat malam' ku kirimkan kepada si dia dengan harapan dia membalasnya semula. Seperti yang dijangka, mesej ku dibalas. Aku senyum bahagia dan terus masuk tidur, berharap agar aku mendapat mimpi yang indah. Ya! Mimpi yang indah bertemu dengan si dia….


Selepas aku ditarbiyyah, bila aku jatuh cinta…..

Tidak dinafikan kecantikan dan kesopannya membuatkan aku jatuh cinta dengan si dia. Tiap kali bersua, jantung ini berdegup kencang. Lirik matanya dan senyumannya membuatkan aku nyaris pengsan. Pesonanya lirikan mata dan senyuman si dia itu hanya tuhan sahaja yang tahu. Namun, aku cepat-cepat memalihkan pandangan ku bila kami bersua. Memang cantik, namun disebalik kecantikan itu ada panahan-panahan syaitan yang cuba untuk meruntuhkan benteng iman ku. Maka, aku cuba untuk tidak bersua dengan nya kecuali jika perlu. Tiap kali berbicara aku cuba menjaga pandangan ku. Bayangan kecantikan si dia cuba aku padam dari ingatan kerana ia ibarat bisikan syaitan yang seakan bisikan malaikat.

Apabila si dia menghantar mesej kepada ku, aku menjawabnya dengan sekadar sahaja. Tidak mahu aku memanjangkan lagi 'perbicaraan' tersebut. Walaupun ia cuma mesej biasa, aku perlu berhati-hati. Syaitan itu sangat licik. Boleh sahaja dia menyerang iman ku dari pelbagai arah. Maka aku perlu berwaspada apatah lagi iman aku dijadikan taruhan.

Bila malam menjelma, bila hati ini mula gelisah teringat akan si dia, bila kecantikan dan keayuan si dia menerjah ke dalam minda ku, aku segera beristighfar. Memohon keampunan dan pelindung daripada Allah s.w.t. Aku bingkas bangun mengambil wuduk. Sejadah dibentangkan menghadap kiblat. Solat didirikan dengan penuh khusyuk. Usai solat aku memohon pelindungan daripada Allah, perlindungan daripada fitnah wanita. Lega namun bayangan si dia masih lagi bermain-main di fikiran. Lantas al-Quran ku capai dan ku baca. Beberapa ayat suci itu aku baca dengan tartil dan usai membaca aku mentaddabur ayat tersebut. Lelah, aku cuba melelapkan mata merehatkan jiwa. Namun bayangan si dia masih lagi wujud di fikiran. Lantas aku mengambil tasbih dan mula berzikir memuji tuhan berharap agar bayangan si dia itu lesap daripada fikiran ku. Sambil berbaring, aku melafazkan zikir dengan harapan bayangan tersebut akan hilang. Akhirnya aku terlelap dalam memuji Allah s.w.t yang maha agung lagi maha berkuasa.

Bukannya aku cuba lari dari kenyataan
Bukannya aku membenci si dia
Aku cuma ingin menjaga iman ku

Aku tidak mahu untuk melayan cinta
Dan juga tidak mahu melawan nya

Sebaliknya aku cuba untuk mengelaknya
Jika cinta tersebut membuatkan iman aku berkurang..

Aku tidak mahu iman aku dicuri oleh si dia
Walaupun dia tidak sengaja

Dan aku tidak mahu pula menjadi pencuri iman si dia
Walaupun aku tidak sengaja

Biarlah aku menjaga iman ku

Aku tidak mahu mengejar sesuatu yang tak pasti.

Cinta ku itu biarlah berlandaskan cinta kepada Allah

Dan dicurahkan kepda dia yang sepatutnya

Dia yang ketika itu ku panggil sebagai 'isteri'



p/s: 'aku' dan 'dia' di dalam post ini tidak ada kaitan dengan mana-mana individu mahupun penulis sendiri. Ia hanyalah 'medium' yang digunakan oleh penulis untuk menyampaikan sesuatu.Harap maklum.

0 comments:

Post a Comment